Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

151) STATUS BANTUAN AIR SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini bantuan air 20 meter padu kepada rakyat Selangor?

    Program Pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Negeri Selangor masih berterusan sehingga penjajaran semula dikuatkuasakan pada 01 Julai 2019.

  2. Nyatakan secara terperinci cara untuk mengenalpasti pengguna yang layak menerima bantuan air percuma ini.

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan cadangan Penjajaran Semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Untuk Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma seperti berikut:-

     

    • Isi padu air percuma di Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma dinaikkan daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu;

     

    • Penjajaran semula Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma dikuatkuasakan pada 01 Julai 2019 bagi melengkapkan data pengguna oleh Air Selangor. Pengguna yang layak menerima air percuma sebanyak 25 meter padu ini adalah daripada kalangan Kategori B40 yang berdaftar dalam rekod E-Kasih;

     

    • Pendaftaran berterusan E-Kasih akan dilaksanakan bagi pengguna yang belum didaftarkan;

     

    • Kadar minimum pendapatan isi rumah bagi Penjajaran Semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Untuk Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma ditetapkan pada RM2,000.00 sebulan; dan

     

    • Penjelasan terperinci hendaklah diberikan kepada rakyat Negeri Selangor melalui public engagement yang dibuat oleh Air Selangor melibatkan semua Ahli Dewan Negeri Selangor, Penghulu dan Ketua Kampung menerusi Pejabat Tanah dan Daerah, Ahli-ahli Majlis dan JMB menerusi Pihak Berkuasa Tempatan.

    Untuk mengenal pasti golongan B40 yang berdaftar dengan E-Kasih layak menerima bantuan di bawah Program Pemberian Air Percuma, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan melaksanakan padanan (integrasi) data E-Kasih dengan rekod akaun pengguna domestik Air Selangor. Bagi nama-nama yang tidak ada dalam rekod Air Selangor, permohonan baru perlu dikemukakan oleh pengguna yang layak tersebut.

     

    Selain dari data E-Kasih, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti untuk mengguna pakai data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga sedang mengenal pasti mekanisme pelaksanaan yang terbaik bagi memastikan tidak ada mana-mana individu di dalam golongan yang disasarkan itu tidak terpinggir dalam menikmati mendapat faedah dari Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma. Mekanisme terperinci mengenai perkara ini masih dalam penelitian Kerajaan Negeri dan akan diumumkan dalam waktu yang terdekat ini.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.