Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

29) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan Jom Shopping voucher yang telah diedarkan setiap tahun mengikut DUN.

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat.

    Pembahagian baucar mengikut DUN bagi Program Bantuan Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan adalah berdasarkan kepada data jumlah pengundi berdaftar mengikut kaum di dalam DUN berkenaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Manakala statistik penerima bantuan bagi Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan mengikut kaum dari tahun 2012 hingga tahun 2018 adalah seperti di LAMPIRAN 1.

  2. Apakah kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan Jom Shopping voucher adalah diberi kepada golongan yang miskin?

    Bagi memastikan Program Jom Shopping dilaksanakan dengan baik dan teratur, Kerajaan Negeri melalui Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah bekerjasama dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) untuk membangunkan Sistem Jom Shopping Perayaan sejak tahun 2013. Sistem ini merupakan satu mekanisma yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan maklumat penerima manfaat disimpan dengan baik, lengkap dan tersusun di dalam satu pangkalan data.

    Berdasarkan kepada prosedur dan kaedah pelaksanaan program, penerima-penerima manfaat bagi setiap DUN adalah dikenalpasti oleh Pusat Khidmat DUN masing-masing berdasarkan kepada syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti berikut:-

    i) Penerima bantuan adalah masyarakat yang menyambut perayaan             berkenaan;ii) Penerima bantuan mestilah mempunyai pendapatan seisi rumah   RM1,500.00 dan ke bawah;

    iii)  Penerima bantuan mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan;

    iv) Hanya seorang penerima bantuan sahaja yang layak menerima baucar    bagi setiap keluarga; danv) Penerima bantuan bukanlah penerima manfaat di bawah Program             Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

    Maklumat-maklumat penerima manfaat yang telah dikenalpasti layak dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ini akan didaftarkan ke dalam Sistem Jom Shopping oleh petugas Pusat Khidmat DUN masing-masing. Maklumat-maklumat ini merangkumi nama, nombor kad pengenalan, umur, alamat, jantina, kaum, status perkahwinan, nombor telefon, jumlah pendapatan seisi rumah, maklumat pasangan dan nombor kupon.

     

    Dengan adanya sistem ini, pihak petugas Pusat Khidmat DUN dapat mengenalpasti penerima-penerima manfaat baharu yang tidak pernah mendapat bantuan melalui program ini serta memastikan sendiri tiada penerima manfaat yang sama atau berulang pada setiap tahun berdasarkan maklumat-maklumat sedia ada yang telah didaftarkan di dalam sistem.