Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

28) PERKHIDMATAN FIBER OPTIK

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kawasan-kawasan yang masih tidak mempunyai perkhidmatan fiber optik di DUN Rawang.

    Pada ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai rangkaian gentian optik telekomunikasi di DUN Rawang. Perkhidmatan telekomunikasi berasakan gentian optik di DUN Rawang disediakan oleh pemberi perkhidmatan “service provider – SP SMARTSEL tidak mempunyai data khusus mengenai kawasan-kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan gentian optik telekomunikasi di DUN Rawang. Pihak pembekal perkhidmatan sedia ada, tidak dapat memberikan informasi tersebut kerana data-data yang diminta diklasifikasikan sebagai maklumat sulit syarikat (company confidential). SMARTSEL masih dalam perbincangan untuk mendapatkan maklumat tersebut bagi menyelaras pembangunan bersepadu rangkaian gentian optik untuk seluruh Selangor.

  2. Apakah tindakan yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut?

    Dalam masa yang sama, usaha untuk meningkatkan keupayaan liputan WiFi di kawasan luar bandar, pihak Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksanakan suatu kajian bagi mengenal pasti penyelesaian untuk membina infrastruktur digital khususnya rangkaian data melalui projek Selangor Wide Area Network (SWAN) yang merupakan salah satu inisiatif Smart Selangor di bawah domain Smart Digital Infrastructure. SWAN bertujuan untuk menyambungkan semua agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan rangkaian data dan Internet berkelajuan tinggi termasuk menggunakan gentian optik, dan seterusnya melebarkan kemudahan Internet dan jalur lebar tersebut ke kawasan-kawasan persekitaran. Buat masa ini, Projek SWAN masih di peringkat kaji selidik.

    SMARTSEL juga sedang berinteraksi secara aktif dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam merencanakan polisi dan   rancangan terperinci dari kerajaan pusat melalui SKMM yang sedang menyiapkan “National Fiberisation and Connectivity Plan – NFCP dalam masa terdekat. Ini akan membolehkan SMARTSEL membangunkan rangkaian gentian optik telekomunikasi dengan lebih tersusun dan sejajar dengan haluan kerajaan Malaysia dan di mana Selangor juga boleh menggunakan dana “Universal Service Provision – USP untuk pembangunan infrastruktur digital di kawasan luar bandar yang kekurangan capaian perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.