Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

18) PROGRAM IKATAN DESA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan bagi melaksanakan program ikatan desa?

    Ikatan Desa merupakan pengwujudan semula Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) yang pernah ditubuhkan pada tahun 2013 yang lalu. Kerajaan Negeri telah melihat akan keperluan pasukan ini dihidupkan dan dijenamakan semula memandangkan isu keselamatan rakyat terutamanya di kampung-kampung tradisi dan desa semakin mencabar ekoran ancaman globalisasi dan perkembangan teknologi semasa.

    Terdapat pelbagai isu seperti kes pecah rumah, kecurian, ragut dan pergaduhan sering dilaporkan di media massa dan elektronik. Masyarakat pada hari ini di lihat semakin terdesak dengan untuk meneruskan kelangsungan hidup menyebabkan perkara-perkara seperti dinyatakan berlaku dengan berleluasa dan memerlukan tindakan yang proaktif khusunya bagi komuniti luar bandar.

    Justeru pada tahun 2017, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan Program Ikatan Desa. Melalui Program Ikatan Desa,  satu pasukan keselamatan yang dinamakan ‘Ikatan Desa’ diwujudkan. Pasukan ini dilatih melalui tiga (3) komponen penting iaitu:

    1. Kawalan keselamatan kampung yang meliputi aspek keselamatan orang awam, rumah, bangunan awam dan kesejahteraan penduduk kampung;
    2. Khidmat bantuan awal perubatan; dan
    3. Kawalan kebakaran.

    Pelaksanaan Program Ikatan Desa terdiri daripada dua (2) aspek penting iaitu memberi latihan berkaitan kawalan keselamatan kampung kepada anggota Pasukan Ikatan Desa dan juga pemberian peralatan/logistik yang akan digunapakai oleh anggota Ikatan Desa ketika melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan untuk menjaga ketenteraman kampung.

    Bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang telah diadakan pada 1 Februari 2017 dan telah disahkan oleh MMKN ke 5/2017 pada 8 Februari 2017 melalui Kertas MMKN. No.30/4/2017 telah meluluskan pelaksanaan Program Ikatan Desa dengan peruntukan sebanyak RM3,679,152.00 bagi membiayai penganjuran kursus dan pembekalan peralatan kepada Pasukan Ikatan Desa.

    Pecahan peruntukan sebenar yang telah dibelanjakan sehingga kini mengikut item adalah seperti berikut:

    BIL ITEM KOS
    1. Kursus Ikatan Desa RM2,184,312.00
    2. Pembekalan Peralatan :
    ·         Walkie Talkie RM702,144.00
    ·         Peralatan Keselamatan RM656,894.70
    JUMLAH DIBELANJAKAN RM3,543,894.70

     

  2. Sejauh manakah keberkesanan program ikatan desa yang dilaksanakan oleh MPKKK/ JKKK?

    Kursus untuk anggota Ikatan Desa telah diadakan pada bulan September sehingga Disember 2017 secara bersiri bertempat di Kem Nur Lembah Pangsun Jalan Ampang Pecah Kuala Kubu Baru, Kem Nur Laman Bestari Ulu Yam dan juga Kem Bukit Unggul Jenderam Hulu Sepang. Tumpuan kursus pada tahun lepas adalah kepada Kawalan Keselamatan Kampung di mana peserta mengikuti kursus diberikan latihan asas berkaitan keselamatan, kebakaran, semboyan dan pertahanan diri.

    Pada bulan Januari sehingga Februari 2018 penyerahan peralatan untuk kawalan keselamatan kampung kepada pasukan Ikatan Desa disetiap kampung telah dilaksanakan. Peralatan keselamatan seperti vest, lampu suluh, papan tanda, walkie talkie, kon keselamatan dan papan tanda diserahkan melalui Ketua Kampung yang juga merupakan ketua pasukan Ikatan Desa.

    Memandangkan Program Ikatan Desa masih berada diperingkat awal pelaksanaan, oleh itu impak pelaksanaannya masih belum dapat dibuat penilaian. Walau bagaimanapun, bagi tahun 2019 ini,pelaksanaan Program Ikatan Desa ini akan dikaji semula dan akan dibuat pengubahsuaian serta penambahbaikan dari perbagai sudut iaitu dari segi skop, dasar dan hala tuju pelaksanaannya seiring dengan keperluan masyarakat setempat. Selain itu anggota pasukan Ikatan Desa akan dibuat penyusunan semula dan akan diletakkan di bawah Biro Keselamatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Kerjasama bersama agensi-agensi seperti PDRM, BOMBA, JPAM serta lain-lain agensi berkaitan akan ditingkatkan dan mereka akan bertindak sebagai agen penggerak pasukan Ikatan Desa Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.