Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

14) INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS) DI DAERAH KUALA SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah terkini IKS di Daerah Kuala Selangor?

    Industri Kecil dan Sederhana atau dikenali sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh ditakrifkan seperti berikut;-

    Kategori : Pembuatan Industri Kecil

    • Jualan tahunan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM15 juta ATAU daripada 5 hingga kurang daripada 75 pekerja.

     

    Industri Sederhana

    • Jualan tahunan daripada RM15 juta hingga tidak melebihi RM50 juta ATAU daripada 75 hingga tidak melebihi 200 pekerja.

     

    Kategori : Perkhidmatan dan Sektor Lain Industri Kecil

    • Jualan tahunan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM3 juta ATAU daripada 5 hingga kurang daripada 30 pekerja.

     

    Industri Sederhana

    • Jualan tahunan daripada RM3 juta hingga tidak melebihi RM20 juta ATAU daripada 30 hingga tidak melebihi 75 pekerja.

     

    Berdasarkan definisi dan ketegori di atas, sehingga kini sebanyak 53 buah syarikat IKS/PKS yang berdaftar dengan pihak SME Corp. di dalam Daerah Kuala Selangor.

    * Sumber : SME Corp

  2. Apakah infrastruktur asas yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pengusaha IKS di Daerah Kuala Selangor?

    Secara dasarnya, pihak Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan infrastruktur asas secara menyeluruh untuk usahawan-usahawan tanpa mengkhususkan kepada industri IKS atau bukan IKS.

    Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah menyediakan medium atau platform yang boleh membantu usahawan-usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan usahawan-usahawan tempatan dalam pameran yang diadakan di dalam dan luar negara seperti program Selangor International Business Summit. Penang International Halal Expo 2019, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2019 dan lain-lain.

  3. Berapakah anggaran peluang pekerjaan disediakan dalam IKS di Daerah Kuala Selangor?

    Merujuk kepada rekod Lesen Pengilangan yang dikeluarkan, anggaran peluang pekerjaan disediakan adalah sebanyak 6,107 di Daerah Kuala Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.