Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
250) KAD KISS
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kad KISS merupakan salah satu program yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat. namun begitu, permohonan kad KISS telah dibekukan sementara untuk mengatasi masalah teknikal. Berapa lamanya masa yang akan diambil demi mengatasi masalah teknikal tersebut dan bilanya permohonan baru dapat dilakukan?
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan no.45 dari Yang Berhormat Morib.
Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) telah mendapat sambutan luar biasa dikalangan golongan ibu di Selangor yang ternyata memberikan manfaat bagi meneruskan kelangsungan hidup dan amat membantu dalam mengurangkan beban keluarga.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pemberian KISS masih diteruskan seperti biasa dan tiada isu pembekuan sementara kad KISS bagi mengatasi masalah teknikal. Ketika ini Kerajaan Negeri sedang menjalankan langkah-langkah pemutihan selaras dengan penjajaran program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) secara keseluruhan oleh Kerajaan Negeri termasuklah penerima-penerima KISS melalui kerjasama yang komprehensif dengan jabatan di peringkat Persekutuan yang mempunyai sistem pangkalan data yang boleh dimanfaat dan dimaksimakan penggunaannya khususnya bagi tujuan verifikasi pendapatan di peringkat Kerajaan Negeri iaitu daripada:
- Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang bersetuju untuk membuat semakan silang senarai penerima KISS sedia ada dengan sistem di bawah kendalian ICU JPM yang merupakan sebuah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional iaitu Sistem eKasih; dan
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang juga bersetuju untuk membuat semakan silang secara holistik bukan sahaja melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) tetapi juga semakan silang bersama 17 agensi kerajaan
Sehubungan itu, setelah hasil semakan silang ini diperolehi daripada jabatan/agensi yang telah dinyatakan itu tadi maka langkah seterusnya akan disusuli dengan pemakluman melalui surat kepada para penerima dan taklimat kepada semua pejabat Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dilaksanakan.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, langkah-langkah pemutihan yang akan dilaksanakan bagi tujuan penjajaran IPR secara keseluruhan ini akan dimuktamadkan pada sesi Retreat Exco Kerajaan Negeri Selangor yang akan diadakan pada 31 Mac hingga 2 April 2019.