Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

156) BANDAR MESRA WANITA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan bandar mesra wanita seperti termaktub dalam dasar wanita Selangor dan dasar komuniti negara.

    Kerajaan Negeri Selangor menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah memulakan proses awal dalam memberi kesedaran mengenai penyediaan tempat awam yang lebih selamat dan bandar mesra wanita dengan melibatkan diri secara langsung dalam sesi Gender Responsive Urban Planning and Design di Women’s

     

    Assembly Malaysia Urban Forum (MUF 2019) hasil kerjasama bersama pihak Urbanice Malaysia pada 19 Februari 2019 yang lalu.

  2. Apakah ciri-ciri bandar mesra wanita yang telah dilaksanakan. PBT mana yang telah pun melaksanakannya?

    1. Ciri-ciri bandar mesra wanita (UN Women, Safe Cities Module) adalah apabila golongan wanita mahupun kanak-kanak perempuan:

     

    • dapat menikmati kemudahan dan ruang awam tanpa rasa takut dan terancam;

     

    • dapat berpartisipasi dalam pembuatan keputusan yang melibatkan kawasan persekitaran mereka;

     

    • dapat jaminan hak asasi yang tidak meminggirkan golongan mereka;

     

    • dapat jaminan pihak autoriti akan mengambil tindakan dan perhatian kepada langkah pencegahan dan hukuman kepada pesalah laku keganasan terhadap wanita; dan

     

    • mendapat jaminan akses kepada keadilan oleh pihak autoriti.

     

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ingin melaksanakan bandar mesra wanita haruslah mengambil kira input dan pandangan daripada golongan wanita, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan umur, khususnya semasa merancang untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

     

     

    Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang memberi penekanan kepada aspek perancangan bandar mesra wanita yang digelarkan sebagai ‘Bandar Hijau Mesra Wanita’ seiring dengan kehendak semasa setiap warga setempatnya. MPSJ melaksanakan perkara tersebut bagi memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 64 peratus wanita daripada lebih kurang 790,000 penduduk di bawah pentadbirannya.

     

    Selain daripada penambahbaikan kemudahan sedia ada, MPSJ juga menjadikan pendekatan Bandar Hijau Mesra Wanita tersebut sebagai satu usaha untuk memberdayakan penglibatan wanita. Selain daripada itu, MPSJ juga telah menetapkan indikator dalam penyediaan perkhidmatan mesra wanita yang merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.