Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

106) CUKAI TANAH

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah yang menyebabkan masalah pembayaran cukai tanah di mana rakyat menghadapi masalah seperti akaun masih tunjuk tunggakan walaupun bil sudah dibayar, bil menunjukkan jumlah pembayaran yang salah dan lain-lain?

    Untuk makluman Yang Berhormat Subang Jaya, pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan juga Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh Negeri Selangor telah menambahbaik sistem kutipan hasil tanah yang sebelum ini dikenali sebagai Sistem Pungutan Hasil Tanah (eSPHT) kepada Sistem eHasil bermula pada 16 April 2018. Sistem ini secara langsung telah memudahkan kutipan cukai petak ke atas bangunan skim berstrata yang bermula pada 1 Jun 2018. Penambahbaikan tersebut melibatkan pembangunan sistem dan migrasi data cukai tanah.
    Berikutan daripada kerja-kerja migrasi data daripada pangkalan data eSPHT kepada pangkalan data sistem eHasil yang baharu, terdapat isu-isu dan permasalahan yang berlaku antaranya seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Subang Jaya. Walaubagaimanapun, kesemua permasalahan ini sedang diambil tindakan oleh pihak PTGS dan pihak vendor yang dilantik untuk kerja-kerja menambahbaik sistem kutipan hasil tanah tersebut.

  2. Sila nyatakan rancangan penyelesaian kepada masalah tersebut?

    Antara tindakan-tindakan yang diambil oleh PTGS dengan kerjasama PDT seluruh Negeri Selangor dalam mengatasi permasalahan yang timbul hasil daripada perubahan sistem kutipan baharu ini ialah dengan mewujudkan “task force” yang dianggotai oleh PTGS dengan pihak vendor yang dilantik untuk menaiktaraf sistem kutipan hasil tanah dan melaksanakan pembetulan data-data yang timbul merangkumi perkara berkaitan bayaran yang tidak dikemaskini.
    PTGS sentiasa berusaha melayan dan menyelesaikan aduan/ pertanyaan yang diterima daripada orang awam sama ada secara hadir sendiri di kaunter, panggilan
    telefon dan juga melalui e-mel. Kesemua tindakan merangkumi semakan semula, pengemaskinian akaun dan pemakluman kepada pengadu akan dibuat segera bagi memudahkan urusan orang awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membayar cukai tanah dan petak mereka. Selain itu juga, pihak PTGS telah bekerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membolehkan pembayaran cukai tanah dan cukai petak dibuat di kaunter PBT berkenaan. Pihak PTGS juga telah membuat hebahan kepada orang awam menerusi laman web rasmi jabatan berkaitan medium pembayaran yang boleh digunakan untuk membayar cukai tanah dan petak dengan menggunakan nombor akaun lama (21 digit) dan nombor akaun baharu (14 digit) bagi memudahkan urusan orang awam berkaitan perkara ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.