Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

54) INISIATIF BAHARU UNTUK GOLONGAN USAHAWAN DAN PENIAGA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam membantu golongan usahawan dan peniaga kecil dalam mengembangkan perniagaan;

    Setiap tahun Kerajaan Negeri Selangor menyediakan peruntukan bagi membantu usahawan bagi meningkatkan hasil pendapatan dan menjana ekonomi negeri. Berikut merupakan bantuan yang disediakan untuk perniagaan mikro di Negeri Selangor:
    1. Geran Bantuan Perniagaan
    i) Dana Usahawan Mikro Selangor
    Program khas berbentuk non-monetary untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Seramai 380 usahawan telah menerima manfaat bantuan ini sejak tahun 2015-2018.
    Skop bantuan adalah seperti berikut:
     Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
     Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;
     Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
     Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
     Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.
    ii) Pembungkusan Produk Made In Selangor
    Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri telah mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan yang telah diperbaharui.
    2. Pinjaman Mikrokredit
    i) Pinjaman HIJRAH Selangor
    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015. Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu. Sehingga Februari 2019 seramai 45,088 penerima yang telah diluluskan bagi mendapatkan kemudahan mikrokredit.
    ii) Program Skim Zero to Hero
    Skim ini berbentuk ”mentoring system” yang akan melatih dan memantau usahawan dari peringkat asas sehingga berjaya. Syarikat peneraju (anchor company) akan dilantik untuk melatih usahawan baru. Setelah tamat latihan, peserta yang layak akan dipertimbangkan untuk pinjaman HIJRAH Selangor. Syarikat peneraju (anchor company) akan membekalkan peralatan dan bahan perniagaan untuk usahawan memulakan perniagaan. Perjalanan perniagaan akan dibimbing/dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) selama 6 bulan. HIJRAH Selangor akan memantau seterusnya dan memastikan
    perniagaan berjalan dengan baik dan berdaya maju. Kejayaan usahawan berkenaan merupakan kayu pengukur kejayaan HIJRAH Selangor. Setakat ini terdapat 21 peserta yang telah menyertai program skim Zero to Hero dan peserta-peserta tersebut telah dapat menyelesaikan pinjaman kurang dari 1 tahun bagi tempoh pinjaman 3 tahun.
    3. Program Latihan Keusahawanan
    Selain itu, bagi usahawan di peringkat permulaan, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan tentang bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan. Modul kursus terdiri daripada asas perniagaan dan kewangan, penjenamaan produk, pensijilan produk, Business Model Canvas serta pemasaran Online dan Facebook.
    4. Program Promosi
    i) Pameran/Ekspo
    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran. Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan akan menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE).
    Bermula tahun 2017 Kerajaan Negeri telah menyertai pameran antarabangsa ke China ASEAN Expo (CAEXPO) di Nanning, China anjuran People’s Government of Guangxi Zhuang Autonomous Region dan ditaja oleh Ministry of Commerce, P.R. China. Kerajaan Negeri Selangor menyertai pameran ini melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memandangkan badan ini berperanan untuk mempromosi, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia dengan memberi penekanan ekspot
    terhadap produk keluaran Malaysia. Dianggarkan 10 orang usahawan terpilih setiap tahun akan menyertai pameran ini bagi mewakili Negeri Selangor.
    ii) Business Matching
    Pada penyertaan pameran dan ekspo di peringkat tempatan dan antarabangsa usahawan berpeluang untuk menyertai sesi business matching yang disediakan. Produk usahawan dipadansuai kepada potensi pembeli dari syarikat/negara yang menyertai pameran tersebut.
    5. Program di bawah agensi
    i) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
     Program Perintis Usahawan (PPU)
    Program Perintis Usahawan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (dulu dikenali sebagai Jabatan Pelajaran Negeri Selangor). Objektif program ini adalah untuk memupuk semangat keusahawanan dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah. Enam (6) buah sekolah rendah telah terpilih sejak dimulakan pada tahun 2007.
     Program Tunas Niaga (PROTUNe)
    Dalam membudayakan usahawan muda yang berjaya dan berpengetahuan, Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah diperkenalkan di Negeri Selangor pada tahun 1998 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD).
     Program Usahawan Siswazah (GROW) Program Usahawan Siswazah merupakan satu inisiatif yang diwujudkan untuk membantu golongan siswazah yang berminat menceburi bidang keusahawanan. Modul kursus selama 6 bulan ini membantu para peserta dalam mengendalikan perniagaan dari peringkat awal sehingga berjaya.

  2. Apakah inisiatif baharu untuk membantu golongan usahawan dan peniaga kecil meningkatkan taraf hidup mereka.

    Dalam usaha untuk membantu usahawan berkembang dengan lebih pesat, Kerajaan Negeri tidak menumpukan kepada pembangunan promosi di hub-hub perniagaan sedia ada sahaja malahan dalam masa yang sama merancang untuk menggalakkan lebih ramai usahawan berniaga melalui hub virtual. Ini merupakan anjakan medium perniagaan yang berbentuk statik atau tradisional kepada teknologi terkini. Usahawan wajar mengambil inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui SITEC yang menawarkan platform penjualan produk melalui atas talian. Selain itu SITEC dan PKNS Bizpoint ada menyediakan fasiliti ruang pejabat yang dilengkapi dengan utiliti dengan kadar sewa yang berpatutan. Oleh itu, usahawan mikro yang memerlukan ruang pengurusan tidak perlu menyewa/ membeli ruang pejabat konvensional yang memerlukan kos overhead yang tinggi. Penglibatan usahawan di dalam hub virtual dilihat sebagai kaedah yang dapat meluaskan pasaran dengan lebih cepat dan kos efektif. Sebagai contoh platform atas talian seperti Lazada, Shoppe, Fashion Valet, GroupOn, Zalora, Alibaba.com dan lain-lain. Mekanisme ini dilihat lebih dekat dengan pembeli / pengguna.

Lampiran

Tiada Lampiran.