Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

53) SKIM BAS SMART SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaann Negeri membuat kajian keberkesanan skim bas Smart Selangorku dapat meringkankan beban rakyat Selangor yang miskin?

    Kerajaan Negeri belum mempunyai kajian menyeluruh yang khusus bagi mendapatkan impak keberhasilan terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor dapat meringankan beban rakyat Selangor yang miskin. Namun demikian, kerajaan Negeri yakin bahawa dengan perkhidmatan bas percuma ini secara tidak langsung, rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian bagi perjalanan menggunakan pengangkutan awam, manakala bagi ibu bapa pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas ini untuk ke sekolah pula dapat menjimatkan sejumlah wang yang harus diperuntukkan untuk bas sekolah. Penjimatan kos tersebut memberi manfaat kepada rakyat untuk menabung atau digunakan bagi tujuan keperluan harian yang lain.

  2. Adakah pihak Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengkaji menukar bas Smart Selangorku khas menjadi bas sekolah percuma untuk pelajar sekolah?

    Kerajaan Negeri belum berhasrat untuk menukar perkhidmatan bas ini kepada bas sekolah percuma untuk pelajar sekolah kerana ia memerlukan kajian teliti termasuk peruntukan kewangan dan akan memberi implikasi yang besar terhadap kewangan negeri, manakala peruntukan Kerajaan Negeri adalah terhad bagi keperluan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang lebih penting dan perlu diutamakan.
    Selain daripada itu, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan seperti persaingan serta kesan ekonomi ke atas industri pengangkutan bas sekolah khususnya pendapatan pengusaha-pengusaha yang berkaitan. Bagi mencapai matlamat 60 : 40 pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, perkhidmatan Bas Smart Selangor sedia ada lebih menepati sasaran Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam di laluan
    sosial berbanding hanya tertumpu pada pelajar sekolah. Ini kerana, pelajar sekolah tidak memberi kesan yang besar terhadap kesesakan lalu lintas, manakala objektif Kerajaan Negeri menyediakan Bas Smart Selangor di laluan sosial adalah lebih tepat bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.
    Walau bagaimanapun, terdapat juga laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang boleh digunakan oleh pelajar ke sekolah di mana bas tersebut turut melalui kawasan-kawasan persekolahan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Selain itu, Kerajaan Negeri masih mengekalkan Program Bantuan Sumbangan Subsidi Tambang Sekolah di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang. Program ini merupakan satu bentuk bantuan kerajaan bernilai RM300 yang diberikan kepada setiap anak pekerja ladang dan terbuka kepada anak-anak pekerja ladang ataupun bekas pekerja ladang yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Selangor bagi meringankan beban kos tambang bas sekolah di kalangan pekerja ladang.

Lampiran

Tiada Lampiran.