Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

41) MAJLIS TINDAKAN ORANG KELAINAN UPAYA (OKU) SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan dasar, pelan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor

    enubuhan Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor yang dikenali sebagai MTOS menzahirkan sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf golongan OKU di Selangor agar turut sama berperanan positif di dalam arus pembangunan negeri serta membantu Kerajaan Negeri bagi memantau dan memberi saranan penambahbaikan demi kesejahteraan masyarakat OKU di Selangor.
    MTOS telah menggariskan 11 pelan tindakan yang akan dilaksanakan dalam mencapai misi MTOS iaitu ‘OKU Berdaya, Masyarakat Berjaya’ seperti berikut :
    (1) Merangka Dasar OKU Selangor dengan menggariskan pelan jangka panjang dan pendek yang paling berkesan untuk semua kategori golongan OKU.
    (2) Meningkatkan advokasi dengan kempen positif tentang kesedaran dan hak yang dianjurkan secara besar-besaran untuk menyedarkan masyarakat tentang isu-isu penting berkenaan dengan OKU seperti kepentingan intervensi awal (EIP), kepentingan memberi pendidikan inklusif dan menggalakkan institusi menerima OKU untuk bekerja dengan peningkatan kerjasama pihak swasta (public-private partnership).
    (3) Meningkatkan kadar pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan dan aksess kesihatan kepada golongan OKU di Selangor dengan mendokong kepercayaan bahawa kesihatan dan akses kepada kesihatan adalah hak asasi manusia.
    (4) Menyediakan direktori OKU, direktori pusat intervensi awal, pusat kesihatan, pemulihan, terapi fizikal dan cara kerja, pusat latihan vokasional dan pusat pendidikan OKU atau mesra OKU di seluruh Selangor.
    (5) Menambahkan program latihan, pelan pemberdayaan dan advokasi untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU dengan menyasarkan sekurang-kurangnya jumlah 1% golongan OKU di dalam setiap syarikat/organisasi.
    (6) Merangka pelan penambahbaikan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada yang melibatkan kepentingan OKU di Selangor dengan meningkatkan penguatkuasaan dan kepatuhan kepada penjagaan hak OKU.
    (7) Meningkatkan pendidikan inklusif dengan menambah advokasi, program intervensi awal dengan penambahan pusat pendidikan intervensi awal (EIP) dan penambahbaikan program sedia ada dengan mensasarkan penglibatan semua tadika di Selangor di mana tadika atau taman asuhan setiap DUN akan menjadi mesra dan inklusif terhadap anak-anak OKU bagi mendapat pendidikan awal yang berkualiti.
    (8) Merangka pelan aksesibiliti dan pembangunan infrastruktur mesra OKU dan mengenalpasti kaedah penguatkuasaan terbaik bagi menjadi ruang awam mesra OKU.
    (9) Merangka pelan untuk memastikan penglibatan dan penerimaan masyarakat terhadap OKU sama ada dari segi penglibatan sosial atau pekerjaan melalui penambahan sukarelawan bagi meningkatkan penglibatan orang awam dan masyarakat dalam penjagaan da pemberdayaan golongan OKU.
    (10) Mengumpulkan data dan kajian bagi tujuan penubuhan Institut OKU Selangor sebagai sebuah institusi kajian, latihan tentang falsafah
    pendidikan OKU dan metodologi pemulihan OKU dan memperkenalkan pengajian latihan lanjutan bagi golongan OKU.
    (11) Mengambil apa jua langkah yang difikirkan sesuai, patut dan bermanfaat di dalam usaha membangun, menganjurkan dan menguatkuasakan hak-hak OKU di dalam menjamin kesihatan, kebajikan dan pendidikan bagi OKU.

  2. Senaraikan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor.

    MTOS diterajui oleh barisan ahli jawatankuasa yang dipilih hasil daripada Bengkel Sekretariat OKU yang diadakan pada 12-13 Oktober 2018 lalu dan dihadiri oleh 43 orang wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan jabatan/agensi kerajaan seperti berikut :
    (1) Kids Campus Academy
    (2) Persatuan Taska Negeri Selangor
    (3) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor
    (4) CBR Network
    (5) Kolej Perkembangan Awal Kanak-Kanak (Early Years Development Sdn Bhd)
    (6) Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (INSANI) Akademi Autisme INSANI
    (7) Sekretariat OKU Selangor
    (8) Taska Andra
    (9) Pusat Psikologi Dan Rehabilitasi Atfal Jannah
    (10) National Association Of Learning Disabilities (LD-Hope)
    (11) Institut Kefahaman Islam Malaysia
    (12) Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat Selangor
    (13) Perbadanan MBI Selangor
    (14) Fahda Nur Right Foundation
    Selain daripada senarai NGO, jabatan dan agensi yang dinyatakan di atas, MTOS sentiasa membuka dan mengalu-alukan penglibatan dan penyertaan kepada mereka yang ingin turut menyumbang secara positif dalam pemberdayaan dan kesejahteraan golongan OKU di Selangor.

  3. Adakah negeri lain juga menubuhkan majlis seperti ini?

    Buat masa ini, Selangor merupakan negeri pertama yang menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.