Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

33) DASAR KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Masih terdapat sebahagian jabatan-jabatan yang tidak dapat menyelesaikan permasalahan rakyat sehingga menjejaskan nama baik kerajaan. Apakah tindakan kerajaan kepada jabatan tersebut?

    Bilangan aduan/ masalah yang meningkat setiap tahun merupakan satu indikator kesedaran rakyat mengenai kemampuan kerajaan yang dapat membantu mereka menyelesaikan masalah.
    ii. Ini membuktikan bahawa rakyat begitu yakin terhadap ketersediaan dan kemampuan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Walau bagaimanapun, setiap permasalahan dan aduan yang dirujuk ada limitasi serta punca kuasa/ garis panduan tertentu yang mengawalselia. Terdapat juga masalah yang diterima adalah di luar bidang kuasa kerajaan (jabatan/ agensi). Seperti contoh, kerajaan sama sekali tidak boleh mencampuri mana-mana aduan/ masalah yang tidak menepati syarat-syarat seperti digariskan dalam peraturan/ pekeliling yang sedang berkuatkuasa, antara lainnya Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Bilangan 3 Tahun 2010. Ini termasuklah aduan/ masalah yang melibatkan kes-kes dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis mahupun yang sedang dibicarakan di mahkamah.
    iii. Apabila sesuatu aduan/ permasalahan rakyat tidak dapat diselesaikan, Kerajaan perlu melihat kepada seluruh sistem yang terlibat, bukan hanya memandang kepada masalah mengikut individu per se. Sebagai contoh, prosedur/ sistem di sesuatu agensi itu didapati tidak berfungsi dengan efisien. Logiknya ia akan menyumbang kepada peningkatan aduan daripada masyarakat. Sehubungan itu kerajaan akan meneliti masalah itu dan cuba memahami serta memperhalusi
    tentang prosedur/ sistem yang digunapakai. Kerajaan akan mengenalpasti ruang dan peluang yang perlu ditambahbaik/ diperbetulkan/ dicegah. Dan tidak hanya semata-mata menyelesaikan masalah individu.
    iv. Untuk merealisasikannya, Kerajaan perlu turun padang dengan mengadakan sesi libat urus/ naziran/ temu siasat/ bimbingan bersama-sama dengan agensi yang berkenaan. Sebagai contoh, semenjak 1 Januari 2019 sehingga 15 Mac 2019, sekurang-kurangnya 10 sesi libat urus/ naziran/ temu siasat/ bimbingan telah diadakan oleh Bahagian Korporat, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (selaku Penyelaras Aduan Negeri Selangor) dengan pelbagai jabatan/ agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan, badan berkanun).
    v. Jika mengikut kepada tatacara sebetulnya, agensi terbabit hendaklah dihubungi dengan mengemukakan surat/ e-mel rasmi terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, selaku kerajaan yang komited untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu dengan segera lagi tuntas, sudah tentu akan memastikan supaya, pegawai kerajaan (seperti contoh: pasukan Titik Fokus Aduan/ Complaint Focal Point, CFP, di Bahagian Korporat, PSUK) terus/ segera berhubung dengan agensi terbabit setelah menerima aduan/ masalah untuk mengetahui situasi sebenar, sebelum menghantar e-mel/ surat rasmi kepada agensi tersebut. Dengan cara ini akan mempercepatkan proses tindakan terhadap aduan/ masalah yang dilaporkan.
    vi. Kerajaan sentiasa menjalin kerjasama erat dengan agensi yang terlibat kerana tidak mahu bias terhadap laporan yang dibuat. Walau bagaimanapun, agensi terlibat akan dirujuki terlebih dahulu bagi setiap tindakan yang akan diambil memandangkan masing-masing mempunyai dasar, polisi dan akta yang tertentu untuk dipatuhi.
    vii. Kerajaan akan cuba lakukan yang terbaik mengikut landasan yang ada supaya masalah dapat diselesaikan tanpa melanggar apa juga polisi agensi berkaitan. Ini kerana kerajaan berperanan untuk memudahcara pihak-pihak berkaitan dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku.

  2. Sub-soalan telah di tolak

Lampiran

Tiada Lampiran.