Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

7) PASUKAN IKATAN DESA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang akan disalurkan kepada Pasukan Ikatan Desa pada tahun 2019?

    Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk digunakan bagi pembangunan modal insan termasuk latihan dan pembekalan peralatan-peralatan yang dirasakan perlu dan relevan kepada Pasukan Ikatan Desa. Ini secara langsung diharapkan dapat meningkatkan lagi pengetahuan, kemahiran dan juga kecekapan pasukan Ikatan Desa ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Peruntukan tersebut dikawalselia oleh Unit Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor Seksyen Sektoral UPEN bagi tujuan yang dinyatakan tadi. Untuk membelanjakan peruntukan tersebut, tatacara kewangan dan perolehan Kerajaan yang berkuatkuasa perlulah dipatuhi supaya perbelanjaan yang dilakukan kelak tidak bermasalah dan selari dengan hasrat Kerajaan pada hari ini untuk memartabatkan integriti sebagai perkara utama apabila melaksanakan tugasan yang diamanahkan serta untuk mengelakkan ketirisan daripada berlaku sebagai contoh bagi perolehan peralatan melalui tender terbuka dan kursus latihan melalui proses lantikan terus mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

  2. Sekiranya ada, siapakah yang bertanggungjawab membelanjakan peruntukan tersebut?

    Sama seperti di SUB (a)

  3. Apakah insentif kebajikan kepada petugas keselamatan tersebut ?

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi kini dalam proses untuk menjenamakan semula Program Ikatan Desa dengan melibatkan hubungan dan kerjasama Bersama-sama agensi yang berkaitan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), BOMBA, Agensi Pertahanan Awam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi yang akan
    dikenalpasti kemudian. Ini bagi memastikan program yang dirancang dapat memberikan impak maksimum dan hasil positif yang berterusan serta akan memberikan manfaat kepada masyarakat kampung khusunya.
    Dalam perancangan penambahbaikan terhadap program Ikatan Desa ini, isu berkaitan dengan kebajikan petugas keselamatan merupakan antara perkara yang dititik beratkan dan akan diberi perhatian sewajarnya. Walau bagaimanapun, bentuk insentif kebajikan yang akan diberikan kepada petugas keselamatan Pasukan ikatan Desa ini masih belum diputuskan dan masih diperingkat perbincangan.

Lampiran

Tiada Lampiran.