Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

247) KESAN EKONOMI AKIBAT COVID 19

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah impak isu Covid 19 terhadap pengembangan & perancangan ekonomi Negeri Selangor

    Antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong. Kesan yang lebih ketara turut membabitkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas. Walau bagaimanapun, di peringkat negeri, impak tersebut masih tidak ketara. Dari sudut positif, pelabur kini dilihat beralih arah dengan mendekati negara-negara Asia Tenggara termasuk Selangor untuk membuat pelaburan baharu. Perkembangan itu secara tidak langsung membuka mata pelabur dunia yang hanya memilih China untuk menjadi pengilang utama sejak 10 tahun lalu. Negeri Selangor mendapat sedikit kelebihan yang menyaksikan pelabur sektor perubatan dan farmaseutikal mula mencari peluang di Selangor ekoran penularan wabak tersebut. Dasar Kerajaan Negeri yang mesra pelabur dan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi antara faktor yang menarik pelabur untuk menjadikan Selangor destinasi pilihan.

     

  2. Apakah sektor industri yang paling terjejas dengan fenomena ini

    Jangkaan awal adalah wabak ini berpotensi untuk memberi kesan terhadap pelaburan asing ke Negeri Selangor. Namun begitu, sektor industri yang paling terjejas dengan fenomena ini tidak dapat dipastikan pada masa ini dan agak sukar untuk dinilai kerana penularan wabak tersebut masih di peringkat awal dan kesannya masih belum dapat diukur dalam tempoh ini.

  3. Berapakah jumlah kerugian yang telah dialami oleh sektor pelancongan di Selangor

    Sehingga kini, tiada data khusus mengenai jumlah kerugian yang telah dialami oleh sektor pelancongan di Selangor akibat isu Covid 19 ini. Walaubagaimanapun, daripada maklumbalas penggiat industri pelancongan yang telah diterima seperti agensi pelancongan, hotel dan operator produk pelancongan, melaporkan sebanyak 50% hingga 60% penurunan termasuk kedatangan pengunjung dan tempahan pelancongan sejak isu ini berlaku.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.