Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
223) KAWASAN SEMAK SAMUN DI RUMAH KOSONG/TANAH LAPANG
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri atau Kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang jika pemilik rumah/tanah jika degil membersihkan kawasan yang penuh dengan sampah atau semak samun?
- Tindakan boleh diambil di bawah kacauganggu Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan ada pengadu dan saksi. Mengikut prosedur kerja (SOP) premis/tanah terbiar, sekiranya pemilik degil membersihkan kawasan yang penuh dengan sampah atau semak samun selepas menerima notis, tindakan undang-undang yang boleh diambil ialah samada didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau tindakan undang-undang pendakwaan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Sehubungan dengan itu, PBT boleh mengambil tindakan kepada pemilik yang ingkar membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah semak samun seperti berikut:
- PBT mengeluarkan Notis Kacauganggu kepada pemilik rumah/ tanah persendirian yang mempunyai masalah semak-samun;
- Sekiranya tiada tindakan pembersihan oleh pemilik dan tempoh notis telah tamat, kompaun akan dikeluarkan terhadap pemilik premis;
- PBT akan membuat pembersihan dan kos pembersihan akan dibilkan kepada pemilik premis.
-
Bolehkah kerajaan menyita rumah/lot yang disebut di atas jika pemilik rumah/tanah gagal berbuat demikian?
Bagi kes-kes rumah atau tanah tidak dijaga dengan sempurna oleh pemilik berdaftar tanah atau pemilik kediaman, pihak Pejabat Daerah Dan Tanah tidak boleh menyita tanah atau rumah tersebut, ini kerana:
- Seksyen 116 Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan syarat-syarat tersirat yang menyentuh tanah yang tertakluk kepada kategori “bangunan”. Seksyen 116(c) Kanun Tanah Negara 1965 pula menyatakan bahawa tiap-tiap bangunan di atasnya hendaklah dijaga dengan baik.
- Namun begitu, segala tindakan hendaklah mematuhi peruntukan di bawah seksyen 89(b) Kanun Tanah Negara 1965 yang menyatakan bahawa apa-apa syarat, sekatan kepentingan dan peruntukan-peruntukan lain hendaklah dinyatakan di dalam suratan hak milik.
Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya syarat-syarat tersirat seperti yang ternyata di bawah seksyen 115, 116 dan 117 dalam Kanun Tanah Negara 1965 dinyatakan dalam hak milik.