Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
145) PEMULIHARAAN HUTAN SIMPAN
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan hutan simpan di dalam Negeri Selangor terus dikekalkan?
Kerajaan Negeri Selangor adalah sentiasa komited untuk mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor sebanyak tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan MMKN Ke-45/2014 bertarikh 19 November 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya mempunyai kepentingan nasional seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor juga telah menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada A23 berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 dengan memasukkan proviso “semua pengeluaran Hutan Simpanan Kekal perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”. Kerajaan Negeri Selangor telah melulus dan mewartakan suatu Kaedah iaitu Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 di dalam Warta Kerajaan di bawah Kaedah-kaedah Negeri Selangor dan telah disiar warta pada 30 Januari 2014. Dalam hubungan ini, proses penggantian rizab hutan perlu dilakukan secara serentak dan mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Sebagai makluman, negeri Selangor adalah merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam prosedur penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
-
Apakah Kerajaan Negeri akan meneruskan cadangan penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara?
Merujuk kepada Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih berada di peringkat awal di mana bantahan-bantahan awam secara bertulis sedang diterima oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selama tempoh 30 hari bermula 05 Februari 2020 yang lalu. Sehingga kini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menerima sejumlah 44,292 bantahan secara bertulis. Seterusnya, satu sesi pendengaran awam (Town Hall Session) akan diadakan bagi tujuan mendapatkan bantahan secara lisan mengenai cadangan penyahwartaan HSK tersebut.
Sepanjang proses penyahwartaan ini, segala bantahan yang dikemukakan akan diteliti dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna sebelum diangkat kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Berdasarkan kepada analisa bantahan ini, beberapa justifikasi boleh diperolehi untuk menjadi asas pertimbangan dan seterusnya mengesyorkan opsyen-opsyen yang wajar sama ada penyahwartaan HSK boleh diteruskan atau sebaliknya.