Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
117) PERUBAHAN STRUKTUR PENGURUSAN EMPANGAN KLANG GATE
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perubahan struktur pengurusan Empangan Air Klang Gate setelah Air Selangor menjadi pemilik Puncak Niaga dan Syabas?
Bermula 13 September 2019, Air Selangor adalah pemegang lesen tunggal bagi perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Berikutan itu, pengurusan semua empangan dari segi operasi dan keselamatan di Negeri Selangor (kecuali Empangan Batu) adalah di bawah Pengurusan Air Selangor. Ini kerana fungsi utama Empangan Batu adalah sebagai ‘Flood Mitigation’. Oleh demikian, ia kekal di bawah pengurusan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Air Selangor bertanggungjawab memastikan operasi, kawalselia, penyelengaraan, pengurusan dan keselamatan setiap empangan tersebut diselaraskan berpandukan kepada garispanduan Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS) 2017. Selain itu, kepentingan semua empangan tersebut sebagai sumber air mentah kepada loji-loji rawatan air (LRA) yang berhampiran dapat dipelihara dan dikawal dengan lebih cekap serta terkawal bagi memastikan tiada ganguan bekalan air bersih kepada pengguna.
Kawasan tadahan empangan Klang Gates juga tertakluk kepada bidang kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai zon perlindungan kawasan tadahan dan Jabatan Hutan Negeri sebagai rezab hutan. Empangan ini dikategorikan sebagai Sasaran Penting II oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (CGSO) yang telah digazetkan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) tidak boleh dicerobohi.
-
Senaraikan semua aset yang telah diserahkan kepada Air Selangor termasuk infrastruktur asas, bangunan, syer dan tanah.
Berikutan penstrukturan semula industri air Selangor yang telah selesai pada 13 September 2019, seluruh sistem bekalan air awam di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, termasuk semua aset dan infrastruktur air seperti empangan, loji rawatan air (LRA), rumah pam, kolam takungan air dan sistem retikulasi air telah diserahkan kepada Air Selangor untuk pengurusan dan operasi.
Sebanyak 8 loji rawatan air telah dipindahmilik kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi tujuan pembiayaan kos pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air. Senarai 8 LRA yang telah dipajak semula kepada Air Selangor untuk tempoh 45 tahun adalah seperti berikut:
- LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1)
- LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2)
- LRA Sungai Selangor Fasa 3 (Bukit Badong)
- LRA Sungai Selangor Fasa 3 (Rasa)
- LRA Sungai Langat
- LRA Sungai Batu
- LRA Bukit Tampoi
- LRA Rantau Panjang