Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

81) PENGURUSAN MPKK

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan telah menjalankan penilaian terhadap pencapaian MPKK dalam Negeri Selangor?

    Buat masa ini Kerajaan Negeri belum lagi menjalankan penilaian terhadap pencapaian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor memandangkan kebanyakan ahli jawatankuasa MPKK merupakan wajah – wajah baru di dalam pentadbiran kampung.

     

    Justeru, mulai tahun 2019 Kerajaan Negeri telah memberikan lebih tumpuan kepada elemen memupuk semangat serta memberi pengetahuan berkenaan aspek tanggungjawab dan tugas MPKK terhadap masyarakat. Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai siri latihan dan kursus kepada kesemua Pengerusi MPKK dan ahli biro yang bertujuan untuk memberikan kefahaman berkaitan urus tadbir kampung yang baik. Di antara kursus yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:-

     

    1. Kursus Induksi Ketua Kampung Tradisi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK);
    2. Kursus Pemantapan Pengurusan Ketua Kampung Tradisi;
    3. Kursus Pemantapan Ketua Kampung Menggunakan Pendekatan Maqasid Insaniyyah; dan
    4. Kursus Nadi Desa kepada 8 biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

    Namun begitu, mulai tahun 2020, Kerajaan Negeri telah memutuskan penggunaan penilaian Penarafan Bintang (Star Rating) bertujuan untuk menilai prestasi Pengerusi MPKK dan pencapaian MPKK. Star Rating merupakan satu kaedah yang diguna pakai untuk memberi penilaian terhadap tiga (3) kriteria utama iaitu pentadbiran, aktiviti kemasyarakatan dan juga pencapaian yang diperolehi oleh kampung atau pun pendududk kampung.  Setiap kriteria mengandungi item-item tertentu yang akan dinilai dan diberi markah. Jumlah markah keseluruhan yang diperolehi akan menentukan bilangan bintang (Star Rating) yang diterima oleh sesebuah MPKK. Skala pencapaian prestasi mengikut bilangan bintang ditentukan di antara lima (5) hingga satu (1) bintang. Lima (5) bintang menunjukkan pencapaian yang paling cemerlang, manakala satu (1) bintang menunjukkan pencapaian yang paling lemah.

     

  2. Apakah dapatan daripada penilaian tersebut?

    Sama seperti di SUB (a)

  3. Apakah tindakan yang diambil jika sesebuah organisasi MPKK itu dianggap gagal?

    Sesebuah MPKK diketuai oleh seorang Ketua Kampung selaku Pengerusi, seorang Setiausaha dan juga sebelas (11) orang ahli jawatankuasa atau biro yang dilantik bagi menggiatkan lagi perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di dalam kampung masing-masing. Ketua kampung selaku Pengerusi MPKK bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan hala tuju sesebuah MPKK dan juga bertanggungjawab terhadap prestasi dan pencapaian sesebuah MPKK.

     

    Sesebuah MPKK itu dianggap gagal apabila Pengerusi MPKK yang dilantik gagal melaksanakan tanggungjawab dan menunjukkan prestasi yang  memuaskan sebagai Ketua Kampung atau tidak melaksanakan tugasnya dengan baik seperti mana yang dinyatakan dalam perkara No.19 Garis Panduan, Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor; perkhidmatan Ketua Kampung tersebut boleh ditamatkan dan MPKK tersebut akan dibubarkan dan selanjutnya akan dilaksanakan pelantikan MPKK yang baru.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.