Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

56) VIRUS CORONA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah impak Virus Corona terhadap Ekonomi Selangor dan Sektor Pelancongan Selangor?

    Antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong. Kesan yang lebih ketara turut membabitkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas. Walau bagaimanapun, di peringkat negeri, impak tersebut masih tidak ketara. Dari sudut positif, pelabur kini dilihat beralih arah dengan mendekati negara-negara Asia Tenggara termasuk Selangor untuk membuat pelaburan baharu. Perkembangan itu secara tidak langsung membuka mata pelabur dunia yang hanya memilih China untuk menjadi pengilang utama sejak 10 tahun lalu. Negeri Selangor mendapat sedikit kelebihan yang menyaksikan pelabur sektor perubatan dan farmaseutikal mula mencari peluang di Selangor ekoran penularan wabak tersebut. Dasar Kerajaan Negeri yang mesra pelabur dan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi antara faktor yang menarik pelabur untuk menjadikan Selangor destinasi pilihan.

     

    Sektor pelancongan negeri Selangor berkemungkinan menghadapi kesan langsung akibat penularan wabak ini. Namun begitu, kesan fenomena ini tidak dapat dipastikan pada masa ini dan agak sukar untuk dinilai kerana penularan wabak tersebut masih di peringkat awal dan kesannya masih belum dapat diukur dalam tempoh ini.

     

  2. Apakah tindakan yang kerajaan ambil untuk menghadapi impak ini?

    Kerajaan Negeri berkemungkinan akan menyusun semula strategi pelaburan 2020 bergantung kepada impak Covid-19 terhadap ekonomi negeri. Semakan akan dibuat dalam tempoh dua bulan lagi memandangkan Selangor menyasarkan pelaburan bernilai RM12 bilion pada tahun ini. Kerajaan Negeri tidak menolak

    sekiranya berlaku penyusutan pada nilai pelaburan itu memandangkan masalah ini bukan sahaja dihadapi di negeri Selangor malah seluruh dunia namun optimis sasaran tersebut dapat dicapai.

     

    Bagi merancakkan sektor pelancongan, negeri Selangor akan menyertai beberapa ekspo pelancongan antarabangsa terbesar sepanjang tahun ini sebagai landasan terbaik bagi mempromosi pelancong ke negeri ini dalam usaha untuk mencapai sasaran lapan juta pelancong. Kerajaan Negeri turut akan melaksanakan Program Jelajah Persona Selangor 2020 khusus untuk meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan menyasarkan perolehan RM15 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

     

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri komited untuk mempertingkatkan usaha gigih disulami dengan permuafakatan antara kaum yang erat serta semangat kerjasama kukuh dan dedikasi untuk menjadikan Selangor lebih sejahtera, aman, makmur dan lebih bersedia menangani semua cabaran ekonomi masa hadapan. Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan untuk memperhalusi perancangan-perancangan yang berisiko dengan keadaan dan situasi ini dari semasa ke semasa dalam memastikan rakyat dapat menikmati taraf hidup serta ekonomi lebih baik.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.