Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

54) PROGRAM KASIH IBU SMART SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Setelah program ini dibuka kembali, berapa permohonan yang telah diluluskan?

    1. Kerajaan Negeri telah melaksanakan proses mengemaskini Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bermula 15 Jun 2019 hingga 15 Julai 2019 yang lalu dan mendapati seramai 11,462 orang golongan ibu telah berjaya dan lulus untuk terus menikmati manfaat program ini dengan kadar nilai bantuan yang sama iaitu sebanyak RM200.00 sebulan. Hasil dari proses pengemaskinian berkenaan juga, didapati seramai 1,312 orang penerima sedia ada tidak layak untuk menerima manfaat Program KISS kerana mereka merupakan penerima dari kawasan DUN yang telah melebihi kuota yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

     

    Namun demikian, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan memasukkan angka berkenaan sebagai penerima Program KISS bagi tahun 2020 agar mereka terus menerima manfaat dengan menggunakan tambahan kuota sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020 pada 1 November 2019 yang lalu

  2. Nyatakan jumlah kelulusan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri

    1. Terdapat 4 kategori pembahagian kuota yang telah diluluskan mengikut bilangan DUN dan jumlah penerima di seluruh Negeri Selangor sebagaimana keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 1/2019 yang diadakan pada 16 Januari 2019 yang telah disahkan oleh MMKN Ke 2/2019 pada 25 Januari 2019 seperti berikut :-
    Bil Kategori Pengundi Bil. DUN Pengiraan Penerima
    Jumlah Penerima Penerima Per DUN
    1 Pengundi Kurang 30,000 13 2,800 215
    2 Pengundi 30,000 hingga 45,000 14 4,400 314
    3 Pengundi 45,000 hingga 60,000 24 10,200 425
    4 Pengundi Lebih 60,000 5 2,600 520
    Jumlah 56 20,000
  3. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah peruntukan bagi membolehkan ramai lagi peserta dapat dibantu?

    1. Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap golongan keluarga yang kurang berkemampuan, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telahpun mengumumkan untuk membuat penambahan bilangan penerima Program KISS seramai 5,000 orang pada tahun 2020 selaras dengan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 27/2019 yang telah disahkan pada 2 Oktober 2019 yang lalu. Pertambahan bilangan penerima manfaat ini secara tidak langsung akan melibatkan sejumlah peruntukan kewangan yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM62,000,000.00 pada tahun 2020 bagi memastikan golongan yang tidak berkemampuan ini dapat meneruskan kelangsungan hidup melalui manfaat Program KISS ini.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.