Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

34) PERTANIAN MODEN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak kerajaan akan memperkenalkan kaedah pertanian moden kepada petani di tanah Gambut

    Bagi kawasan pertanian di tanah gambut, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memperkenalkan kaedah pertanian moden dan konvensional. Antaranya menyesuaikan jenis tanaman dengan keadaan tanah seperti tanaman nanas, kontan dan sayur-sayuran. Selain itu pemulihan tanah dengan kaedah pengapuran bagi mengurangkan masalah tanah berasid dan membuat saliran bagi memastikan kandungan air dalam tanah mencukupi bagi mengelakkan kebakaran di tanah gambut. Sisa kebun perlu dibuat baja kompos bagi memulihkan nutrient dalam tanah. Bagi kawasan tanah gambut yang bermasalah, petani disyorkan untuk menggunakan kaedah tanaman secara fertigasi.

  2. Apakah usaha kerajaan untuk menambahkan sumber makanan di Selangor

    Bagi menambah sumber makanan di Selangor, Kerajaan Negeri telah menggunakan pendekatan pembangunan kawasan pertanian secara kluster. Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam merupakan kluster bagi pertanian memandangkan daerah-daerah ini masih mempunyai kawasan pertanian yang luas. Terdapat 12 jenis tanaman tumpuan yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi dibangunkan di kawasan kluster. Pembangunan contract farming, ternakan ikan seperti ikan kelah, ikan susu dan udang kara juga diberi tumpuan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani yang seterusnya meningkatkan sumber makanan di Selangor.

     

  3. Berapakah jumlah petani yang telah terlibat dalam plant factory dan apakah keberkesanannya terhadap sektor pertanian

    Teknologi plant factory masih baru di Selangor. Di bawah bimbingan Jabatan Pertanian terdapat 5 petani terlibat dalam plant factory. Dalam sektor pertanian moden dan Revolusi Industri 4.0, plant factory berkesan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian bagi kawasan yang terhad seperti di bandar, mengoptimumkan penggunaan sumber air dan menjimatkan masa. Jabatan Pertanian daerah Gombak-Petaling telah dijadikan sebagai pusat pengembangan pertanian moden seperti plant factory, nutrient film technique (NFT) dan fertigasi airhydropot untuk petani mendapatkan maklumat dan latihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.