Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

163) TAHUN MELAWAT SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan pelan tindakan untuk pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Selangor 2021.

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah bersedia untuk menjalankan aktiviti promosi sempena penganjuran kempen pelancongan Tahun Melawat Selangor 2021 melalui beberapa pelan tindakan seperti yang berikut:

    1. Mempelbagaikan sasaran pasaran pelancongan kepada kategori ‘Short haul’ – Destinasi pelancongan domestik dan Asia Tenggara’, ‘Medium haul – Destinasi Pelancongan Asia, Australia & Afrika’ dan ‘Long haul – Destinasi Pelancongan Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan’.
    2. Tumpuan utama kepada sektor pelancongan alam semulajadi (eco), sukan, perubatan, pendidikan, pelayaran mewah dan agro.
    3. Menganjurkan kempen pengiklanan melalui platform digital dan atas talian (Online).
    4. Mempergiatkan penganjuran kempen promosi dalam negara dan luar negara serta meneroka pasaran baru seperti Rusia, Indonesia dan Australia.
    5. Pembangunan produk pelancongan klusterisasi yang memfokuskan kepada Pelancongan Eko, Pertanian, Sukan, Perubatan, Pendidikan dan Pelayaran Mewah.
    6. Penganjuran Acara Pelancongan berskala antarabangsa pada setiap bulan dan sepanjang tahun.
    7. Program usahasama bersama penggiat industri pelancongan seperti Hotel, Agensi Pelancongan, Media, Syarikat Penerbangan.
    8. Mengemaskini direktori pelancongan mengikut trend dan perkembangan pelancongan terkini.
    9. Mempromosikan pakej pelancongan bersepadu seperti ‘Experiential Tourism’ pakej melalui program Latihan Hos Komuniti Selangor.
  2. Senaraikan projek baru atau baik pulih bagi infrastruktur pembangunan yang akan dilakukan bagi tujuan mencantikkan kawasan pelancongan.

    Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan menaik taraf projek-projek kecik pelancongan di dalam Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun ini Kerajaan Negeri memfokuskan untuk menyiapkan projek menaik taraf Rumah Rehat Sri Berkat di Bukit Fraser yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya. Kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf ini masih lagi berjalan dan kini berada di fasa pendawaian kabel elektrik dan urusan pemasangan perkakasan dalaman.

    Bagi lain-lain projek baru atau baik pulih. Kerajaan Negeri akan mendapatkan senarai-senarai keperluan projek baru dan baik pulih daripada pihak-pihak yang berkaitan untuk dianalisis keperluannya secara mendalam bagi memastikan projek-projek ini berimpak tinggi dan memberi pulangan yang setimpal kepada pelancongan dan rakyat Negeri Selangor secara amnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.