Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
66) SUMBER HASIL PENDAPATAN BAHARU NEGERI
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah peratus hasil Kerajaan Negeri terkini yang datang dari hasil premium tanah?
Peratus hasil Kerajaan Negeri terkini sehingga 29 Februari 2020 yang datang daripada hasil premium tanah adalah sebanyak 32.68% iaitu RM123.57 juta daripada jumlah keseluruhan kutipan hasil Negeri sebanyak RM378.151 juta.
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil premium tanah?
Pendapatan utama Kerajaan Negeri adalah daripada hasil bukan cukai iaitu premium tanah dan penyumbang kedua terbesar adalah daripada hasil cukai tanah.
Hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu hasil tanah, lombong, hutan, duti hiburan, terimaan mengenai bekalan dan perkhidmatan air, sewa dan jualan harta Negeri, bayaran fi, denda dan pelucuthakkan mahkamah selain daripada mahkamah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, faedah atas baki wang negeri, bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan harta karun.
Walau bagaimanapun, usaha-usaha lain masih diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Di antara langkah-langkah yang dirancang bagi mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan Negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil premium tanah adalah :
- Pelaksanaan kadar cukai petak dan pengenaan fi cukai petak bagi pembangunan berstrata ke atas kaedah-kaedah hakmilik strata Negeri Selangor selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaaan 2016) (A1518) bagi semua daerah di Negeri Selangor yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018.
- Memperkenalkan Caj Fi Bagi Pokok Getah, Kelapa Sawit dan Kelapa di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
- Melaksanakan semakan semula kadar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar pada 11 tahun dahulu;
- Merangka pengenaan Fi Pemprosesan dan Wang Cagaran Permohonan Papan Iklan di dalam Rizab Jalan Negeri oleh Jabatan Kerja Raya Negeri;
- Melaksanakan Akta 795 berkaitan Access Benefit Sharing (ABS) yang bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan; dan
- Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur). Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik.