Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

50) BANTUAN PEKERJA DAN BEKAS PEKERJA LADANG (N39)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan secara terperinci seperti nama, IC dan alamat penerima bantuan tersebut untuk DUN Kota Damansara N39.

    Berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor, tiada bantuan diberikan kepada pekerja dan bekas pekerja ladang di bawah DUN Kota Damansara N39 iaitu Ladang Elmina.

  2. Apakah bentuk bantuan yang telah atau sedang diterima?

    Di bawah Akta Standard-Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) majikan digalakkan menyediakan perumahan kepada pekerja di dalam kawasan perladangan. Kelayakan bagi menduduki perumahan yang disediakan hanyalah kepada pekerja yang masih pekerja dengan majikan tersebut. Pekerja akan hilang kelayakan menduduki perumahan dan semua faedah yang disediakan oleh majikan apabila kontrak pekerjaan tamat.

    Namun, dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat ladang, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta di bawah Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) di mana skim ini adalah satu bentuk dana pusingan untuk membantu pekerja ladang memiliki rumah sendiri.

    Oleh demikian, program SKRE ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk membantu pekerja tersebut memiliki rumah sendiri bagi menangani isu ini. Namun, skim ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekerja ladang walaupun promosi telah dijalankan. Kekangan yang dikenal pasti dalam melaksanakan program ini adalah sukar mendapat rumah kos rendah bersesuaian dengan peruntukkan pembiayaan iaitu sebanyak RM150 000.

    Oleh demikian, di kesempatan ini pihak Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor berhasrat untuk mendapatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan kuota rumah mampu milik kepada pekerja ladang yang layak dan berminat untuk menyertai skim ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.