Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
43) MISKIN BANDAR
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kajian oleh UNICEF baru-baru ini telah mendapati kanak-kanak di kawasan bandar yang berpendapatan rendah mengalami tumbesaran yang terbantut. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor terhadap laporan ini?
Kerajaan Negeri telah melaksanakan program-program berikut bagi menangani masalah kanak-kanak dan keluarga miskin di Negeri Selangor:
i. Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)
Bermula tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi membantu kaum ibu yang telah berkeluarga mendapatkan barangan keperluan asas keluarga tanpa tunai melalui pembelian di pasaraya yang telah dikenalpasti dengan nilai RM200 sebulan. Melalui pelaksanaan program ini, para ibu boleh membuat pembelian ke atas barangan yang berkhasiat dan mempunyai nutrisi yang baik bagi membantu tumbesaran kanak-kanak seterusnya dapat membantu perkembangan minda dalam membentuk generasi yang akan datang.
Senarai barangan yang boleh dibeli di dalam program ini seperti beras, mi atau bihun, biskut, telur, gula, garam, rempah ratus, sos, kicap, tepung, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam, lembu, kambing, ikan, sabun, kelengkapan mandian, bahan pencuci, lampin pakai buang, produk tenusu dan barangan persekolahan.
ii. Skim Peduli Sihat
Skim Pduli Sihat memberi manfaat kepada pemegang kad berkaitan pembiayaan rawatan kesihatan asas menurut kategori Keluarga (had pembiayaan RM500.00 setahun, RM70.00 bagi setiap kali rawatan) dan Individu (had pembiayaan RM200.00 setahun, RM70.00 bagi setiap kali rawatan di panel klinik yang berdaftar.
iii. Bantuan Kewangan
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMN Selangor) menyediakan Skim Bantuan Am bagi membantu keluarga miskin yang berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,500.00 atau pendapatan perkapita tidak melebihi RM350.00 sebulan. Kadar Bantuan Am adalah RM250.00, RM300.00 dan RM350.00 sebulan. Bantuan AM ini adalah bertujuan membantu menampung perbelanjaan harian keluarga miskin. Sehingga Februari 2020, penerima Bantuan Am adalah 4,835 kes yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,290,150.00
iv. Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK)
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah menubuhkan 17 buah PAKK di Negeri Selangor. PAKK berfungsi sebagai pusat aktiviti, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis dan pusat sosial dan rekreasi untuk kanak-kanak.
Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Peduli Kanak-Kanak masing-masing di Subang Jaya dan Hulu Selangor pada tahun 2019 sebagai tambahan kepada 17 buah PAKK sedia ada: