Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

36) MASALAH PENJUALAN ARAK

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan PBT untuk menangani isu penjualan arak di kedai serbaneka/runcit secara haram/tanpa lesen?

    Isu penjualan arak di kedai serbaneka/ runcit secara haram atau tanpa lesen adalah di bawah bidang kuasa pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak Lembaga Pelesenan Eksais Pejabat Daerah dan Tanah. PBT hanya memberi sokongan kelulusan dan ulasan bagi premis perniagaan yang menjual minuman keras berdasarkan kesesuaian premis perniagaan tersebut di dalam kawasan pentadbiran PBT masing-masing. Walau bagaimanapun, PBT sentiasa melaksanakan pemantauan bagi memastikan isu penjualan arak tanpa lesen ini dapat dibendung. Tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dan notis berhenti niaga boleh dikenakan ke atas kedai serbaneka/ runcit yang menjual arak tanpa lesen.

  2. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memberikan lesen kepada premis perniagaan untuk hanya menjual arak sahaja?

    Penjualan arak di Malaysia dikawal oleh beberapa peruntukan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaannya dipertanggungjawabkan kepada beberapa Agensi Kerajaan berkaitan pada peringkat persekutuan, negeri dan juga PBT. Pada peringkat persekutuan, penjualan arak dikawal oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan dan undang-undang yang berkaitan dengan pelesenan jualan arak oleh JKDM ialah Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976 (Akta176) serta peraturan yang dibuat di bawahnya. PBT hanya melesenkan premis perniagaan bagi permohonan menjual minuman keras samada kategori runcit atau borong. Kelulusan lesen menjual minuman keras samada runcit atau borong pula di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

  3. Adakah PBT mengambil tindakan serius ke atas premis-premis yang menjual arak selepas jam 9 malam?

    Premis-premis yang menjual arak perlu mematuhi syarat-syarat lesen/ permit jualan minuman keras yang telah ditetapkan terutamanya tempoh/ masa bagi jualan. Mana-mana premis yang melanggar syarat yang dikeluarkan boleh diambil tindakan oleh pihak PBT dengan tidak menyokong pembaharuan lesen untuk tahun berikutnya dan aduan akan dipanjangkan terus ke Pejabat Tanah & Daerah dan Kastam Malaysia merujuk kepada Seksyen 35 Akta Eksais 1976.

Lampiran

Tiada Lampiran.