Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

33) KAWASAN RIZAB SUNGAI

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apa syarat-syarat untuk kegunaan kawasan lapang rizab sungai?

    Kawasan lapang rizab sungai adalah untuk tujuan sebagai kawasan laluan jentera untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan. Kawasan ini juga adalah merupakan kawasan dataran banjir bagi menampung limpahan air sungai. Sesetengah kawasan lapang rizab sungai di Negeri Selangor telah dirizabkan di bawah seksyen 13 Kanun Tanah Negara. Syarat-syarat kegunaan kawasan lapang rizab sungai adalah tertakluk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Daerah dan Tanah. Selain itu, kawasan rizab juga telah diwartakan di bawah subseksyen 48(3) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

  2. Apa tindakan yang akan diambil terhadap penceroboh rizab sungai?

    Pihak jabatan akan memberi maklumat awal dengan kadar segera dan bagi tindakan penguatkuasaan perobohan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sekiranya terdapat aduan berkaitan pencerobohan dan juga laporan daripada pemantauan berkala kawasan rizab sungai oleh pihak jabatan. Tindakan penguatkuasaan secara bersepadu akan dilaksanakan bersama agensi/jabatan.

  3. Adakah kekangan untuk memantau dan penguatkuasaan untuk kawasan rizab sungai?

    Kekangan untuk memantau dan penguatkuasaan kawasan rizab sungai bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah tidak mempunyai punca kuasa bagi melaksanakan penguatkuasaan ke atas penceroboh. Manakala bagi pemasangan pagar di sepanjang rizab pula memerlukan kos yang tinggi. Namun begitu, pihak jabatan juga ada membuat halangan di laluan masuk ke rizab sungai (Pemasangan Boom Gate) di kawasan hot spot Namun begitu, pencerobohan dan vandalisme masih berlaku di kawasan berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.