Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

31) PROGRAM BANTUAN BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah prosedur dan masa yang perlu diambil untuk kelulusan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, prosedur untuk meluluskan permohonan bagi program ini adalah dilakukan dengan begitu terperinci dan telus. Ianya adalah bertujuan bagi memastikan pemohon yang bakal menerima bantuan ini adalah dari kalangan rakyat yang benar-benar layak sahaja.

    Bermula dengan proses siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Daerah/ Tanah, satu kertas kerja lengkap akan dibentangkan oleh Pejabat/ Daerah Tanah ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan untuk dipertimbangkan. Seksyen Sektoral akan meneliti setiap borang permohanan termasuklah dengan menelefon setiap pemohon bagi membuat pengesahan peralatan/ mesin yang dipohon, menyemak dokumen sokongan di borang permohonan, meneliti setiap anggaran harga peralatan/ mesin dan memasukkan setiap data permohonan ke dalam sistem pangkalan data sebelum satu kertas kelulusan disediakan bagi penyaluran waran ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk proses pembelian peralatan/ mesin.

    Segala proses tersebut adalah rumit dan terperinci namun ianya adalah satu keperluan dalam memastikan setiap permohonan diproses mengikut tatacara yang lengkap sejajar dengan objektif dan sasaran program bantuan ini.

    Berhubung dengan berapa tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan, Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri berpegang kepada Piagam Pelanggan iaitu memproses permohonan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (dokumen lengkap) dalam tempoh 3 bulan.

  2. Apakah perancangan Kerajaan untuk menambahbaik program ini?

    Pada tahun 2018, satu Kajian Penilaian Impak melibatkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE). Merujuk kepada Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, majoriti responden iaitu 71.6%  daripada 1171 orang penerima bantuan bersetuju bahawa latihan keusahawanan seperti kursus kewangan dan pemasaran amat diperlukan dalam  membantu meningkatkan pendapatan dan perniagaan mereka.

    Oleh yang demikian, berdasarkan dapatan kajian tersebut dalam menambah baik program ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengupayakan penerima-penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk diangkat ke satu peringkat yang lebih tinggi. Usaha ini bakal dilaksanakan dengan menyediakan kursus-kursus kemahiran keusahawanan secara berfasa seperti pengurusan kewangan, kaedah pemasaran secara online,  pensijilan, pembungkusan produk dan lain-lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.