Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

25) PENGIMPORTAN SAMPAH

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah SOP untuk memastikan pengawalan pencemaran alam sekitar di kawasan perindustrian dilaksanakan secara baik?

    Bagi memastikan pengawalan pencemaran alam sekitar di kawasan perindustrian dilaksanakan secara baik, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan dua (2) pendekatan utama iaitu:

    Di peringkat perancangan projek

    Kewujudan kawasan perindustrian baru adalah dikaji dari segi kesesuaian lokasi (siting) dan pengezonan guna tanah (zoning) serta langkah-langkah kawalan bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar berdasarkan Garis Panduan “Environmental Essentials for Siting of Industries in Malaysia (EESIM)”; dan

    Di peringkat operasi projek

    Program penguatkuasaan terhadap premis-premis dalam kawasan perindustrian yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dilaksanakan berdasarkan kepada Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP). Dokumen ATOP ini menggariskan perancangan aktiviti penguatkuasaan berdasarkan beberapa kriteria dan kekerapan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan yang perlu diambil bagi ketidakpatuhan premis industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 serta Peraturan-Peraturan di bawahnya.

  2. Apakah tindakan yang telah diambil untuk meningkatkan kawalan pencemaran alam sekitar?

    Bagi meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang dikawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, pada tahun 2020 ini, pihak JAS melaksanakan penguatkuasaan secara bersasar dan berkesan dengan memberi tumpuan atau keutamaan kepada sektor industri yang berikut:

    • Premis Yang Ditetapkan (Buangan Terjadual);
    • Loji Pengolahan Kumbahan; dan
    • Industri Kimia

     

    Ketiga-tiga sektor utama ini telah dikenalpasti menyumbang kepada masalah pencemaran semasa seperti insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019. Penentuan keutamaan ini akan membolehkan JAS melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan terutama kepada kawasan industri atau punca-punca pencemaran yang terletak di kawasan sensitif alam sekitar seperti hulu takat pengambilan air.

    Selain itu, JAS akan menumpukan penguatkuasaan mengikut musim iaitu kepada punca yang menjadi punca pencemaran pada masa tertentu, contohnya semasa musim kering, tumpuan penguatkuasaan adalah terhadap punca yang menyebabkan pencemaran udara yang tinggi, kawasan tanah gambut, kawasan pembinaan dan kawasan yang mudah berlakunya pembakaran terbuka.

    Tindakan pemantauan punca-punca yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dilaksanakan secara Smart Enforcement iaitu melalui sistem atas talian seperti ‘Online Environmental Reporting’ (OER) bagi pelepasan efluen, kumbahan dan larut resapan, ‘electronic Scheduled Waste Information System’ (eSWIS) bagi pengurusan dan pengendalian Buangan Terjadual dan ‘Continuous Emission Monitoring System’ (CEMS) bagi pemantauan pelepasan udara dari cerobong.

    Dari aspek teknologi, JAS juga melaksanakan pemantauan punca pencemaran dengan menggunakan drone bagi membolehkan pengawasan dilakukan meliputi kawasan yang lebih luas dan menjimatkan masa serta kos.

  3. Nyatakan bilangan dan maklumat berkenaan lesen import sampah plastik yang diluluskan di Negeri Selangor.

    Berdasarkan data yang diterima dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), sehingga Januari 2020, sebanyak 60 syarikat telah mendapat AP untuk lesen import sisa plastik bagi seluruh Malaysia dan sebanyak 23 syarikat adalah dari Selangor.

    Sebanyak 18 Syarat-Syarat Pengimportan Sisa Plastik HS kod 3915 yang dikenakan kepada pemegang AP oleh JPSPN dan perlu mematuhi semua kehendak AKAS 1974 dan mematuhi semua peraturan dibawahnya. Syarat-syarat Pengimportan Sisa Plastik HS kod 3915 dilampirkan sebagai rujukan.

    Jabatan Alam Sekitar terlibat dalam menyemak status pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi 26 premis yang ingin mengimport sisa plastik sebagai salah satu input kepada pihak JPSPN dalam memberikan kelulusan mengimport.

Lampiran

Tiada Lampiran.