Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

2) BUKIT MALAWATI

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha terkini pihak Kerajaan Negeri dalam menambahbaik tarikan pelancong dan menambahbaik usaha pemuliharaan warisan di Bukit Malawati?

    Usaha terkini pihak Kerajaan Negeri dalam menambahbaik tarikan pelancongan adalah melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Tourism Selangor Sdn Bhd dengan mempromosi produk pelancongan Daerah Kuala Selangor melalui program Selangor Farm Trip dan Jelajah Persona Selangor. Selangor Farm Trip ini membawa blogger, wartawan program tv dan surat khabar, bagi mempromosi sejarah Kesultanan Selangor sekaligus menjadikan Bukit Malawati Kuala Selangor sebagai lokasi wajib dalam mempromosikan warisan sejarah Selangor.

    Manakala Jelajah Persona Selangor pula merupakan satu insiatif Kerajaan Negeri bagi mempromosi Selangor di dalam Malaysia. Program Jelajah Persona Selangor 2019 menjadi landasan kepada penggiat industri pelancongan untuk menjalin kerjasama dengan Badan Pelancongan Negeri serta Kerajaan Negeri secara amnya. Perkara ini secara tidak langsung akan membuka peluang lebih luas dalam usaha mempergiat pelan promosi dan pembangunan pelancongan bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong domestik khususnya ke Selangor.

    Seterusnya usaha Kerajaan Negeri dalam menambahbaik usaha pemuliharaan warisan di Bukit Malawati adalah mewartakan kawasan Bukit Malawati kepada Taman Negara Malawati dengan menyalurkan peruntukan yang diperlukan bagi menambahbaik kemudahan infrastruktur untuk sebagai jaminan yang berterusan untuk keselamatan dan keselesaan pelancong.

    Majlis Daerah Kuala Selangor melalui beberapa siri perbincangan dan melalui Mesyuarat Majlis Pelancongan Daerah Kuala Selangor pada 13 Ogos 2019 telah membentangkan beberapa cadangan pembangunan pusat pelancongan Daerah Kuala Selangor terutamanya cadangan pembangunan dan pembaikan kemudahan sedia ada di Bukit Malawati untuk menambahbaik pengisian sedia ada selain perkhidmatan tram yang disediakan. Cadangan yang dibentangkan adalah mengikut keperluan dan kehendak yang telah disuarakan oleh pengunjung melalui MDKS namun memerlukan dana dan peruntukan untuk memastikan cadangan tersebut dapat disediakan memandangkan MDKS tidak dapat memenuhi setiap cadangan tersebut kerana kekangan kos dan peruntukan yang tidak mencukupi.

  2. Adakah pihak PADAT dan MDKS mempunyai perancangan dan peruntukan khusus bagi memperbaiki kadar kedatangan pelancong ke Bukit Malawati serta mempelbagaikan tarikan pelancong?

    Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) komited dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan tapak warisan di Negeri Selangor. Tapak warisan merupakan bukti sejarah yang perlu dipelihara sebagai suatu perkongsian ilmu kepada generasi masa kini dan akan datang. Pembentukan Institusi Kesultanan Selangor adalah bermula di Kuala Selangor pada tahun 1766 dan diasaskan oleh Raja Lumu, Putera Yamtuan Muda Johor Daeng Chelak. Sejajar dengan fungsi PADAT sebagai sebuah organisasi yang melindungi dan membekalkan kemudahan berhubung dengan aspek Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, PADAT mengambil beberapa tindakan yang patut bagi menzahirkan fungsi organisasi sebagaimana yang termaktub di dalam Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009.

    Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam pemuliharaan, pemeliharaan monumen dan exhibit berbentuk sejarah, tradisi, kaji purba, senibina atau kesenian. PADAT telah mengambil satu tindakan yang teliti bagi memastikan tapak-tapak sejarah di Bukit Melawati berada dalam keadaan terpelihara. Sehubungan dengan itu, satu pasukan khas yang dikenali sebagai Rescue Team PADAT terdiri dari kakitangan sedia ada telah dibentuk bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemeliharaan tapak sejarah di Bukit Melawati seperti di lokasi di bawah:-

    1. Tangga Seratus
    2. Perigi Beracun
    3. Batu Hampar
    4. Telaga Tujuh
    5. Bukit Tanjung Keramat/ Bukit Belanda
    6. Makam Anak Dara
    7. Kg. Lubuk Jaya, Kuala Selangor

     

    Bagi menarik pengunjung datang ke Bukit Melawati, PADAT kini sedang dalam usaha menaik taraf muzium yang terdapat di Bukit Melawati seperti Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, Muzium Permainan Tradisional dan Muzium Monyet yang bakal dibuka bagi kemudahan pengunjung untuk mendapatkan informasi berkenaan kebudayaan dan warisan yang terdapat di Negeri Selangor. Selain itu, PADAT juga mengambil kira tentang penyediaan peletakan papan tanda dan papan tunjuk arah bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke Bukit Melawati yang kaya dengan sejarah Kesultanan Selangor.

    Kesinambungan daripada kerja-kerja pemeliharaan dan naik taraf, PADAT juga dalam perancangan untuk menyediakan pakej pelancongan Diraja di Kuala Selangor. Pakej pelancongan ini melibatkan dua daerah yang lain iaitu Kuala Langat dan Klang. Di dalam pakej pelancongan tersebut, PADAT merancang untuk menghidupkan pertunjukan kebudayaan di Laman Kebudayaan di Bukit Melawati pada setiap minggu yang merangkumi silat, muzik, tarian Diraja, makanan dan kraf tempatan sebagai mempromosi warisan kebudayaan kepada pelancong. Selain itu, tapak tangga 100 akan dipromosikan sebagai salah satu tapak sejarah Kesultanan Selangor dengan perancangan untuk mengadakan Program Larian Tangga 100 merebut piala Raja Muda Selangor. Semoga ianya dapat direalisasikan.

    Dalam usaha untuk mempertingkatkan kedatangan pelancong ke Bukit Melawati, PADAT telah merancang beberapa projek pembangunan dan aktiviti sebagai tarikan pelancongan. Perancangan tersebut adalah seperti berikut:

    • Pengisian Muzium Permainan Tradisional Rakyat yang sedang dalam tindakan oleh pihak PADAT
    • Naiktaraf pameran Muzium Sejarah Kuala Selangor
    • Menyemarakkan Pentas Budaya Bukit Melawati dengan persembahan tarian tradisional, muzik dan seni silat oleh kumpulan kebudayaan tempatan.

     

    Namun begitu pelaksanaan perancangan ini tertakluk kepada peruntukan yang terhad yang mana pada masa kini PADAT hanya mempunyai peruntukan yang telah ditetapkan bagi pengisian semula Muzium Permainan Tradisional Rakyat sebanyak RM200,000.00 dan penyelenggaraan Muzium Sejarah sebanyak RM78,000.00 bagi tahun semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.