Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
176) KILANG HARAM KITAR SEMULA SISA PLASTIK, E-WASTE DAN PELEBURAN ALUMINIUM
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status kes dan penguatkuasaan yang telah dilakukan pada tahun ini?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang tanpa kebenaran di sepanjang tahun ini termasuk aktiviti kilang haram kitar semula sisa plastik, e-waste dan peleburan aluminium. Hasil dari pemantauan sehingga bulan Jun 2020 didapati sebanyak 215 buah premis kilang di tujuh (7) buah PBT telah dikenalpsti dan diambil tindakan seperti berikut:-
1) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
Pihak MBSA masih dalam proses bancian terhadap aktiviti kilang tanpa kebenaran. Antara hasil bancian tersebut, sebanyak 75 buah premis kilang yang merangkumi kilang kitar semula sisa plastik, e-waste dan peleburan aluminium telah dikenal pasti. MBSA telah memberi surat peringatan kepada pemilik kilang terlibat sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
2) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
Pihak MPSJ telah mengenal pasti sebanyak empat (4) buah premis kilang yang menjalankan aktiviti kitar semula. MPS telah mengeluarkan Notis di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 672) kepada sebuah premis kilang dan dua (2) buah premis kilang lagi dalam proses pengeluaran Notis D. Manakala sebuah kilang telah diambil tindakan perobohan pada tahun 2019.
3) Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
Pihak MPS telah mengenal pasti sebanyak empat (4) buah premis kilang yang beroperasi tanpa kebenaran dan telah mengeluarkan sebanyak dua (2) kompaun di bawah Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MPS) 2007 dan dua (2) Kompaun di bawah Seksyen 46(1)d, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974.
4) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
Pihak MPKj telah mengenal pasti sebuah kilang pemprosesan plastik secara haram dan tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 11 – iaitu membuang sebarang effluent kecuali effluent yang ditetapkan Jadual Ketiga Peraturan 2 Kualiti Alam Sekeliling dengan denda sebanyak RM1,000.00.
5) Majlis Perbandaran Klang (MPK)
Pihak MPK telah menjalankan sebanyak 160 operasi dan mengenal sebanyak 119 premis kilang tidak berlesen telah dikenal pasti di mana sebuah daripadanya menjalankan aktiviti kilang peleburan aluminium. MPK telah mengeluarkan sebanyak 88 kompaun dan 242 Notis di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.
6) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL)
Pihak MPKL telah mengenal pasti sebuah kilang yang menjalankan aktiviti peleburan aluminium tanpa kebenaran. Tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sepang telah dijalankan di mana tindakan pemotongan bekalan utiliti daripada pihak Suruhanjaya Tenaga telah diperolehi dan tindakan pemotongan telah diambil pada 30 Jun 2020.
7) Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)
Pihak MDHS telah menjalankan sebanyak 11 operasi bersepadu terhadap 11 premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti peleburan aluminium. Sebanyak 14 buah jentera pengangkut dan 4.3 tan jongkong aluminium telah disita. Manakala sebanyak 7 premis telah diberikan notis, sitaan dan penutupan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.