Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
173) SUMBER AIR BERSIH NEGERI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memastikan sebarang gangguan terputusnya bekalan air tidak melebihi dari 1 hari keperluan penggunaan rakyat?
Tindakan oleh Air Selangor dalam memastikan gangguan bekalan air pada masa hadapan tidak melebihi dari 1 hari adalah seperti berikut:
1-PELAN JANGKA PANJANG
Air Selangor telah merangka pelan jangka panjang ‘redundancy pipeline’ bagi kawasan strategik dan berisiko tinggi yang bertindak sebagai bekalan alternatif sekira berlakunya gangguan bekalan air. Ia hanya mampu untuk mengawal sebahagian sahaja kawasan yang terjejas dan bukan keseluruhan. Inisiatif-inisiatif berikut hanya dapat dilaksanakan setelah rezab margin berada pada paras 10% sehingga 15%:
i) Program Penggantian Paip Jenis Asbestos Cement (AC)
438km paip usang/berusia jenis Asbestos Cement (AC) telah dan sedang diganti kepada paip jenis Ductile Iron (DI) dan High-Density Polyethylene (HDPE) dibawah program penggantian paip 2016 – 2018 yang menelan kos berjumlah RM367 juta. Bagi tempoh pelan perniagaan 2019 hingga 2021, Air Selangor merancang untuk menggantikan lagi 468km paip dengan jumlah peruntukan sebanyak RM399 juta.
ii) Sensor Pintar (Intelligent Sensor) dan “Leak Detection Works”
Pada tahun 2018, Air Selangor telah memasang sensor pintar ‘Intelligent Sensor’ (PressureTransient) disepanjang paip utama untuk mengesan ‘pressure surges’ dan kebocoran melalui ‘alert’ yang akan disalurkan ke ‘Intelligent Command Center’ (ICC). Sebanyak 66 kebocoran telah dapat dikesan setakat ini dalam tempoh satu (1) tahun pelaksanaannya. Selain itu, Air Selangor juga telah menjalankan usaha pengesanan kebocoran ‘leak detection works’ di paip-paip utamanya. Bagi tempoh lima (5) bulan tahun 2020, 72 kebocoran telah berjaya dikesan di sepanjang 832km jajaran paip utama (pelan keseluruhan 2000km) dengan anggaran penjimatan NRW sebanyak 10.4 JLH.
2- LANGKAH-LANGKAH BERTERUSAN
i) Lokasi-Lokasi Panas Projek Pembangunan Pihak Ketiga Yang Melibatkan Jajaran Paip Utama – Pemantauan Lokasi-Lokasi Panas Pihak Ketiga
- Terdapat 144 lokasi projek pembangunan yang dikategorikan “panas” yang boleh menyumbang kepada paip pecah berlaku disebabkan pihak ketiga yang dikenalpasti.
- Bagi memantau keadaan tapak, pihak Air Selangor telah menubuhkan pasukan khas yang membuat pemantauan di tapak secara langsung dan berfungsi untuk meronda dan melaporkan sebarang penemuan serta mencegah insiden paip pecah daripada berlaku.
ii) Kerjasama daripada Kerajaan Negeri Selangor Bagi Pemantauan Pembangunan Pihak Ketiga
Merujuk kepada mesyuarat MTES Ke 25/2019 bertarikh 28 Ogos 2019, kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju melaksanakan syor pihak Air Selangor seperti berikut:
- Kelulusan permit kerja oleh PBT kepada mana-mana projek pembangunan perlu mendapat sokongan dan maklumbalas daripada Air Selangor yang melibatkan asset-asset perkhidmatan air di rezab jalan-jalan awam, rezab jajaran bekalan air dan berhampiran atau sempadan hak milik Air Selangor (cth: pemotongan tanah berhampiran Kolam Air/Rumah Pam); dan
- Menambahkan klausa tambahan ke atas kelulusan permit kerja oleh PBT sekiranya kerja-kerja projek di tapak mengakibatkan paip pecah, pihak PBT berkuasa untuk mengeluarkan arahan pemberhentian kerja (Stop Work Order) untuk satu tempoh yang bersesuaian (sekurang-kurangnya 30 hari).
Tujuan pelaksanaan syor Air Selangor ini bagi menyelaras aktiviti pihak ketiga dalam pelaksanaan projek bertujuan untuk mengelakkan paip pecah.
-
Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk menggunakan kaedah 'reverse osmosis'?
Kerajaan Negeri Selangor pada ketika ini belum bersedia untuk melakskanakan kaedah ‘reverse osmosis’ dalam merawat air yang akan dibekalkan kepada pengguna. Melalui kajian yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mendapati bahawa kos operasi loji dengan menggunakan kaedah ini tidak kurang pada harga RM0.80 per meter padu berbanding kaedah konvensional biasa pada lingkungan RM0.30 – RM0.40 per meter Walaupun kaedah ‘reverse osmosis boleh menghasilkan kualiti air terawat yang sangat baik, ia akan melibatkan kepada kos operasi yang tinggi dan akhirnya akan meningkatkan kos harga air terawat yang akhirnya akan membebankan pengguna secara keseluruhan.