Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
160) PASUKAN TASK FORCE WABAK COVID-19 SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada pasukan task force Covid-19 yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
-
Sejauh manakah keberkesanan pasukan tersebut dalam mengekang wabak Covid-19 di Negeri Selangor?
Negeri Selangor merupakan salah sebuah negeri yang terkehadapan dalam pengurusan wabak COVID-19. Pasukan Task Force Negeri Selangor (STFC) yang ditubuhkan pada 10 Mac 2020 bertanggungjawab membantu (complement) usaha-usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai ‘Custodian of Health’ – ‘Penjaga Kesihatan’ untuk keseluruhan Persekutuan Malaysia. Bagi memastikan objektif ini tercapai, fokus bidang tugas STFC adalah meningkatkan pendidikan dan pemahaman warga Selangor berkenaan langkah-langkah penjagaan diri dan norma baharu selain memperkenalkan inisiatif bagi memutuskan rantaian transmisi wabak COVID-19 dalam komuniti.
Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam membentuk pasukan ini mendapat sambutan baik dari kalangan agensi kerajaan dan semua lapisan masyarakat kerana ianya memastikan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada rakyat di Negeri Selangor. Sebagai contoh, inisiatif saringan secara bersasar yang diadakan di kawasan zon merah di bawah pantauan Pegawai Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan agensi keselamatan telah berjaya mengesan kes positif COVID-19 di mana kebanyakan daripada kes tersebut adalah tidak bergejala (pengesanan awal). Inisiatif ini juga melindungi golongan berisiko tinggi apabila keutamaan diberikan kepada warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik.