Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

144) PENGURUSAN PELAJAR UNISEL DAN KUIS SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pelajar yang tinggal di kampus sepanjang PKP dan bagaimana pengurusan kebajikan mereka?

    I) UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL)

    Sepanjang PKP terdapat sejumlah 23 pelajar di Asrama UNISEL Shah Alam (AUSA) dan 25 pelajar yang tinggal di Kolej Kediaman UNISEL Kampus Bestari Jaya. Dari sejumlah 48 pelajar ini, 46 merupakan pelajar antarabangsa dan hanya 2 pelajar warganegara Malaysia. Selain itu terdapat sejumlah 70 pelajar tempatan yang tinggal di rumah-rumah sewa sekitar Shah Alam dan 21 pelajar antarabangsa yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Jumlah pelajar yang kecil dan keadaan awal adalah terkawal adalah disebabkan UNISEL pada waktu itu sedang dalam cuti penghujung Semester November 2019 bagi kesemua kalendar akademik Pascasiswazah, Sarjana Muda/ Diploma dan Program Asas. Pelajar tempatan yang berada di sekitar kampus adalah dalam kalangan pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal.

    Sebaik sahaja WHO mengisytiharkan bahawa wabak COVID-19 telah sampai ke peringkat pendemik pada 11 Mac 2020, UNISEL telah melaksanakan langkah-langkah awal. Antara langkah awal adalah:

    • Naib Canselor UNISEL telah mengeluarkan arahan bagi persediaan menghadapi pendemik COVID-19 menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kali ke-216, bertarikh 9 Mac 2020.
    • UNISEL juga telah bertindak segera dengan membatalkan/ menangguhkan semua program Mobiliti Outbound pelajar ke Thailand, Vietnam dan Indonesia pada 11 Mac 2020.
    • Memulakan perancangan awal sejak bulan Februari 2020 berkaitan kuliah secara atas talian bagi Semester April menerusi jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri). Pihak Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia Universiti Selangor (PPDM) telah memulakan pelan tindakan sejak Februari 2020 bagi menjalankan kelas secara atas talian secara sepenuhnya. Pelan tindakan ini berkuatkuasa pada 19 Mac 2020 bagi pengendalian kuliah semester baru yang  bermula pada 6 April 2020. Pelaksanaan kuliah menerusi atas talian adalah di portal e-learning Unisel yang turut dilengkapkan dengan aplikasi Big Blue Button (http:owc.unisel.edu.my/b/) dan Google Meet .
    • UNISEL juga telah bersedia mendapatkan arahan dan makluman terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung persediaan menghadapi wabak.

     

    Sebaik sahaja Kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, Naib Canselor UNISEL telah mengumumkan dua hebahan penting berkaitan usaha menangani pendemik ini:

    • 18 Mac 2020 – PEKELILING KHAS PEJABAT PRESIDEN & NAIB CANSELOR – Perintah Kawalan Pergerakan Dan Arahan Bekerja Dari Rumah
    • 23 Mac 2020 – PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR – Penubuhan Pasukan Pengurusan Krisis Menangani Pendemik Covid-19. Pasukan Ini Diketuai Oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Pelajar Dan Jaringan Komuniti).

     

    INISIATIF UNISEL

    Sembilan belas inisiatif telah dimulakan dan dilaksanakan oleh UNISEL sebaik sahaja pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):

    • Penubuhan Jawatankuasa berkaitan kebajikan pelajar di peringkat Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada 17 Mac 2020. Jawatankuasa ini bertanggungjawab memastikan kebajikan dan keselamatan semua pelajar.
    • Menyediakan pasukan sokongan di kedua-dua asrama yang terdiri dari para pegawai HEP dan felo Kolej Kediaman. Ini bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin.
    • Mengetatkan kawalan keluar-masuk kampus-kampus UNISEL bagi menghadkan pergerakan komuniti dalam kampus dan sekitar dalam usaha mengurangkan risiko.
    • Penubuhan pasukan khas disinfeksi di bawah OSHA dan Fakulti Sains Kesihatan bagi persediaan khas menangani wabak. Pasukan ini turut terlibat dengan prosas disinfeksi Pusat Islam dan Masjid UNISEL Bestari Jaya pada 18 Mac 2020.
    • Melaksanakan tinjauan segera dengan mengeluarkan arahan kepada semua staf dan pelajar yang berisiko untuk membuat deklarasi berkaitan keberadaan dan status kesihatan terkini.
    • Menyediakan bantuan makanan dengan kerjasama Menteri Besar (Pemerbadanan) bagi komuniti pelajar, kakitangan dan keluarga yang mendiami kolej residen kampus Bestari Jaya dan Shah Alam sepanjang tempoh Perintah Larangan Pergerakan. Sejumlah 80 pelajar dan komuniti UNISEL yang bertugas di dalam kampus UNISEL Bestari Jaya mula menerima bantuan makanan di bawah Pakej Ransangan Selangor Prihatin Menangani Kesan Covid 19 (Program Makanan Percuma kepada Mahasiswa UNISEL).
    • Bekerjasama dengan NGO Shah Alam dalam menyediakan bantuan makanan kepada pelajar dan kakitangan di Asrama UNISELl Shah Alam (AUSA).
    • UNISEL menerusi Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) mengeluarkan memo dalaman kepada semua pelajar antarabangsa yang menginap di kolej kediaman memaklumkan perkembangan terkini dan arahan meminimakan risiko jangkitan wabak.
    • Pihak Pejabat Antarabangsa UNISEL memantau secara harian keberadaan pelajar antarabangsa menerusi borang atas talian berkaitan keberadaan mereka sama ada di dalam atau di luar negara.
    • Pelaksanaan kalendar khas bagi semua peringkat bagi Semester April 2020 bagi memudahkan urusan semua pemegangtaruh.
    • Pihak Pemasaran dan Kemasukan turut menyediakan perancangan khusus tatacara pendaftaran pelajar baru dan lama bagi meminimakan risiko penyebaran wabak Covid-19.
    • Pihak HEP menerusi Kolej Kediaman Bestari Jaya dan Asrama UNISEL Shah Alam (AUSA) turut menyediakan perancangan-perancangan khusus bagi berhadapan dengan wabak ini serta urusan berkaitan penginapan pelajar baru dan lama.
    • Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, Unit Kaunseling HEP UNISEL turut menawarkan perkhidmatan atas talian menerusi dua grup WhatsApp bagi membolehkan pelajar mendapatkan bantuan terutama berkaitan isu sokongan.
    • Pasukan khas kaunseling dengan diketuai oleh Ketua Kaunselor dan dibantu 2 kaunselor bertauliah turut beroperasi bagi membantu isu berkaitan psikologi dalam kalangan staf dan pelajar sewaktu dalam pendemik.
    • Pasukan khas HEP di lapangan turut bertugas sepanjang tempoh PKP dan PKPB dalam memantau dan membantu para pelajar Unisel yang terperangkap dan tinggal di luar kampus.
    • UNISEL turut mewujudkan 6 Zon (Utara, Selatan, Tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak) bagi membantu para pelajar yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing oleh kerajaan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.
    • UNISEL turut bekerjasama secara terus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi usaha pemantaun bersama dengan Pusat Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Pusat Kesihatan Bestari Jaya.
    • Bantuan segera oleh Unit Bantuan Zakat UNISEL turut disediakan bagi mereka yang memerlukan bantuan kecemasan. Ini termasuk bantuan makanan segera kepada pelajar yang menginap di kolej kediaman Bestari Jaya pada 21 Mac 2020.
    • Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia Unisel (PPDM) dan Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) turut membuka ‘virtual office’ bagi membantu pelajar yang perlu melaksanakan proses pembelajaran secara atas talian sepanjang Semester April 2020.

     

    MAKLUMAN LANJUT

    • Pihak BHEA dan PPDM telah memulakan pelan tindakan sejak Februari 2020 menerusi JK Khas di bawah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Jaringan Industri) untuk menjalankan kelas secara atas talian secara sepenuhnya. Pelan tindakan ini berkuatkuasa pada 19 Mac 2020 bagi pengendalian kuliah semester baru yang akan bermula pada 6 April 2020. Pelaksanaan kuliah menerusi atas talian adalah di portal e-learning Unisel yang turut dilengkapkan dengan aplikasi Big Blue Button (http:owc.unisel.edu.my/b/) dan Google Meet .
    • Pejabat Pendaftar turut menyediakan perancangan khusus tatacara pendaftaran pelajar baru dan lama bagi meminimakan risiko penyebaran wabak COVID-19.
    • UNISEL juga telah melakukan persediaan lengkap bagi menerima kemasukan pelajar tahun akhir dan pelajar baru bagi Semester Julai 2020 (Program Asas) dan Semester Ogos 2020 (Sarjana Muda dan Diploma). Persediaan ini telah mengambilkira arahan dan pekeliling pihak berkuasa berlandaskan prosedur yang perlu dipatuhi dari masa ke semasa.

     

    II) KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

    Jumlah pelajar yang tinggal di kampus KUIS sepanjang PKP adalah seramai 183 orang. Kebajikan pelajar KUIS diuruskan oleh Pusat Hal Ehwal Mahasiswa (PHEM) KUIS dengan dana bantuan makanan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Incorporated (MBI), orang perseorangan, syarikat-syarikat dan juga alumni KUIS serta masyarakat sekitar yang prihatin.

  2. Berapakah perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Negeri untuk menguruskan pelajar ini sepanjang PKP?

    I) UNISEL

    Bagi membantu pelajar UNISEL termasuk memastikan kebajikan terjamin, Kerajaan Negeri Selangor menerusi MBI telah menyalurkan bantuan kepada pelajar UNISEL serta para petugas dalam kalangan kakitangan yang bertugas menjaga kebajikan para pelajar sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Bantuan yang disalurkan turut merangkumi pelajar yang tinggal di sekitar kampus UNISEL yang terputus akses makanan seharian. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk UNISEL adalah RM58,640.

     

    II) KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

    Pihak KUIS telah menerima bantuan daripada pihak Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi membiayai makanan pelajar yang berada di KUIS sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berikut:

    1. Perintah Kawalan Pergerakan 1 berjumlah RM25,600.00.
    2. Perintah Kawalan Pergerakan 2 berjumlah RM44,800.00.
    3. Perintah Kawalan Pergerakan 3 berjumlah RM44,800.00.

     

    Jumlah keseluruhan bantuan makanan yang diterima daripada MBI adalah sebanyak RM115,200.00.

    Jumlah dana sumbangan Pasca Covid-19 daripada Kerajaan Negeri Selangor yang diterima pada 15 Mei 2020 adalah sebanyak RM100,000.00.

    Jumlah keseluruhan dana yang diterima daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskan pelajar KUIS sepanjang PKP adalah sebanyak RM215,200.00.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.