Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
57) TINJAUAN DAN KAJIAN TERHADAP PERKARA ANAK MUDA
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri ada mempunyai apa-apa projek tinjauan & kajian terhadap anak muda? Sekiranya ya, sila senaraikan projek-projek ini sejak tahun 2018 sehingga kini.
Kerajaan Negeri amat menitik beratkan aspek pembangunan belia di Negeri Selangor memandangkan lebih lima puluh peratus (50%) populasi rakyat Selangor adalah dalam kalangan generasi muda. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Cawangan Pengurusan Data, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES), populasi belia di Selangor pada tahun 2019 ialah 4,512,300.00 orang. Dalam usaha untuk memartabatkan aspek pembangunan belia di Selangor, Kerajaan Negeri telah melaksanakan kajian yang berkaitan dengan aspek pembangunan generasi muda sebagai panduan bagi membangunkan belia di Negeri Selangor.
Di antara kajian yang telah dilaksanakan sejak tahun 2018 sehingga kini adalah sebagaimana berikut:-
- Kajian Keberkesanan Peranan PeBT di dalam Pembangunan Generasi Muda Selangor
Kajian ini telah dilaksanakan oleh IDE Research Centre Sdn Bhd pada tahun 2018 dengan kos sebanyak RM176,740.00. Ianya bertujuan untuk menentukan keberkesanan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Selangor antaranya adalah untuk menentukan tahap pelaksanaan peranan sebagai perancang, penyampai maklumat, pembina jaringan dan penggerak pembangunan komuniti generasi muda dalam kalangan PeBT.
- Kajian Profail dan Pemetaan Belia Negeri Selangor
Kajian ini sedang dijalankan pada tahun ini bermula pada bulan Mei 2020 dan dijangka akan disiapkan pada bulan Oktober 2020 oleh Universiti Teknologi Mara dengan kos sebanyak RM200,000.00. Kajian ini perlu dilaksanakan untuk menyediakan polisi intervensi dan pembinaan indeks belia Selangor yang meliputi modal insan, penggunaan media dan domain pekerjaan. Selain itu, kajian ini juga dapat membantu dalam pembentukan polisi dan dasar-dasar sediaada untuk penambahbaikan atau mewujudkan dasar baharu berkaitan dengan belia. Hasil kajian akan dijadikan sebagai blueprint bagi belia pada masa akan datang.
-
Sila senaraikan jumlah populasi anak muda di bawah Negeri Selangor mengikut kumpulan pecahan umur 15-19, 20-24, 25-29, 30-35, 35-40.
Berdasarkan Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah populasi anak muda di Negeri Selangor mengikut kumpulan pecahan umur adalah seperti berikut;
PECAHAN UMUR
JUMLAH 15-19
477,000
20-24
563,800
25-29
648,700
30-34
719,200
35-39
628,300
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020
-
Sila senaraikan semua kolej/ universiti milik Kerajaan Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor memiliki tiga Institusi Pengajian Tinggi iaitu :-
- Universiti Selangor (UNISEL)
- Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)
- Kolej Antarabangsa INPENS