Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
29) PENCEMARAN UDARA
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan index kualiti udara dan air sungai sejak bulan Januari 2020 hingga kini.
-
Apakah tindakan Kerajaan untuk memastikan kualiti udara dan air sungai adalah dalam tahap yang baik?
Tindakan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor:-
Bagi memastikan kawalan pencemaran kualiti udara dan air sungai berada dalam tahap yang baik, Kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah melaksanakan program penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain dan juga penguatkuasaan secara bersasar dengan memberi tumpuan atau keutamaan kepada sektor industri yang berpotensi mencemar alam sekitar seperti berikut:
- Premis Yang Ditetapkan (Buangan Terjadual);
- Loji Pengolahan Kumbahan; dan
- Industri Kimia
Ketiga-tiga sektor utama ini telah dikenalpasti menyumbang kepada masalah pencemaran semasa seperti insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019. Penentuan keutamaan ini akan membolehkan JAS melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan terutama kepada kawasan industri atau punca-punca pencemaran yang terletak di kawasan sensitif alam sekitar seperti hulu takat pengambilan air.
JAS Selangor sebagai salah satu agensi penguatkuasaan turut terlibat menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis industri yang berada di kawasan Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat dalam tempoh Ops Sumber Air bermula 17 April 2020 sehingga 31 Mei 2020, Ops Sumber Air ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor adalah bertujuan untuk menangani dan mencegah aktiviti pencemaran sumber air yang boleh mengakibatkan henti tugas/ penutupan terhadap Loji Rawatan Air (LRA) sehingga menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
Selain daripada operasi dan penguatkuasaan ke atas punca pencemaran air, JAS juga menumpukan penguatkuasaan melalui pasukan rondaan kepada punca pencemaran udara terutamanya semasa musim kering, di kawasan berisiko tinggi berlakunya pembakaran terbuka seperti di kawasan tanah gambut Johan Setia, Klang, tapak pembinaan dan kawasan industri yang melepaskan udara melalui cerobong kilang.
Tindakan pemantauan punca-punca yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dilaksanakan secara Smart Enforcement iaitu melalui sistem atas talian seperti ‘Online Environmental Reporting’ (OER) bagi pelepasan efluen, kumbahan dan larut resapan, ‘electronic Scheduled Waste Information System’ (eSWIS) bagi pengurusan dan pengendalian Buangan Terjadual dan ‘Continuous Emission Monitoring System’ (CEMS) bagi pemantauan pelepasan udara dari cerobong.
Dari aspek teknologi, JAS juga melaksanakan pemantauan punca pencemaran dengan menggunakan drone bagi membolehkan pengawasan dilakukan meliputi kawasan yang lebih luas dan menjimatkan masa serta kos.