Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

14) GUGUSAN INDUSTRI SOKONGAN PELABUHAN DAN MARITIM

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim yang dikenalpasti di Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Telok Gong dan Sijangkang?

    Kluster Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim merupakan salah satu kluster di bawah inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor yang merangkumi empat (4) kawasan utama di bahagian barat Selangor iaitu Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Sijangkang dan Telok Gong. Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui UPEN telah menjalankan beberapa sesi lawatan ke kawasan Pulau Indah, Klang. Hasil lawatan tersebut, terdapat potensi ekonomi sedia ada yang perlu dikembangkan iaitu Pelancongan Pelayaran Mewah (Cruise Tourism) di Boustead Cruise Center (BCC), Pelabuhan Klang.

    Pelancongan Pelayaran Mewah merupakan salah satu cabang segmen pelancongan Negeri Selangor yang semakin berkembang pesat. Pada tahun 2018 – 2019, jumlah kemasukan pelancong pelayaran mewah melalui terminal pintu masuk BCC, Pelabuhan Klang, adalah seramai 895,756 pelancong dari pelbagai destinasi antarabangsa.

    Pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor melihat potensi Pelancongan Pelayaran Mewah ini mampu dipertingkatkan lagi supaya menjadi destinasi utama dan terkenal di rantau Asia dengan disokong oleh pembangunan serta potensi sedia ada di sekitar kawasan Pelabuhan Klang seperti Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG), Royal Klang Town Heritage Walk dan lain-lain.

    Bagi tujuan ini juga, Jawatankuasa di bawah Kluster Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim telah merangka pelan tindakan jangka masa pendek bagi mempertingkatkan sektor Pelancongan Pelayaran Mewah antaranya:

    1. Penambahbaikan dan penaiktarafan kerja-kerja fizikal jalan di Persiaran Pelabuhan Barat;
    2. Pemasangan hoarding;
    3. Penambahbaikan landskap;
    4. Pembinaan pusat informasi pelancongan dan kraftangan Selangor di dalam Boustead Cruise Center (BCC); dan
    5. Pelaksanaan Program Selangor Agro Market (SAM)
  2. Apakah perancangan pembangunan jangka panjang Pulau Indah dan Telok Gong yang akan dilakukan pada tahun ini?

    Merujuk Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2035 beberapa cadangan telah diadakan untuk kawasan Pulau Indah antaranya seperti berikut:

    1. Cadangan Universiti Maritim di Pulau Indah;
    2. Cadangan Rancangan Kawasan Khas bagi pengekalan kawasan kampung-kampung tradisi di Tanah Rezab Melayu Pulau Indah;
    3. Cadangan pembangunan semula kawasan brownfield di Bandar Armada Putera; dan
    4. Cadangan jambatan baru dari North Port ke Pulau Indah.

     

    Manakala bagi pembangunan jangkamasa panjang Telok Gong, pihak MPK akan mengadakan satu pelan induk infrastruktur pada tahun 2020 bagi menambahbaik kemudahan awam, infrastruktur dan utiliti di kawasan Telok Gong. Pelan induk ini disediakan dengan tujuan seperti berikut:

    1. Memastikan pembangunan infrastruktur yang dirancang mengikut piawaian dan keperluan setempat.
    2. Memastikan penduduk setempat mendapat kemudahan yang baik dan
    3. Memastikan perancangan pembangunan infrastruktur menjamin kesejahteraan kehidupan penduduk setempat dari aspek keselamatan, kesihatan dan sosial.
    4. Mengenalpasti langkah-langkah penambahbaikan bagi kawasan-kawasan yang mempunyai konflik gunatanah yang memberi kesan kepada penduduk setempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.