Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

12) RUMAH BARU DI DALAM PASARAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah rumah yang baru dibina di dalam pasaran dan masih belum dapat dijual kepada orang awam di dalam Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, trend harta tanah tidak terjual seluruh negara yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) adalah meningkat dari tahun ke tahun. Namun dari tahun 2018 ke 2019 terdapat sedikit penurunan iaitu dari 32,313 unit kepada 30,664 unit atau sebanyak 5.1% penurunan.

    Secara keseluruhannya, unit tidak terjual adalah sebanyak 30,664 unit atau 24.76 % dari keseluruhan 123,825 unit yang telah dilancarkan pada tahun 2019. Ia merangkumi rumah kos rendah (2,501 unit), rumah teres (39,286 unit), rumah berkembar dan rumah sesebuah (10,981 unit), rumah bertingkat tinggi (66,782 unit) serta lain-lain jenis harta tanah (4,275 unit). Namun begitu, di Negeri Selangor terdapat sebanyak 4,687 unit rumah telah siap yang tidak terjual atau 15.3 % daripada keseluruhan merangkumi semua jenis harta tanah yang dinyatakan di atas. Jumlah tersebut adalah ketiga tertinggi selepas Negeri Johor (5,627 unit atau 18.4 %) dan Negeri Perak (5,024 unit atau 16.4 %).

  2. Adakah Kerajaan Negeri dapat menyenaraikan jumlah rumah tersebut mengikut jenis rumah dan harga?

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri sukar untuk menyenaraikan jumlah rumah yang tidak terjual mengikut jenis dan harga seperti yang dikehendaki memandangkan selama ini maklumat tersebut bergantung kepada laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah (NAPIC) berdasarkan Laporan Suku Tahunnya. Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bil.1/2020 pada 9 Jun 2020 telah bersetuju supaya satu Jawatankuasa ‘Task Force’ Khas ditubuhkan untuk melihat isu-isu berkaitan hartanah tidak terjual dan cadangan-cadangan penyelesaian dan menentukan unit-unit sebenar hartanah yang tidak terjual serta mengemukakan syor-syor dan mekanisme kepada Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu lambakan hartanah yang tidak terjual ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.