Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

10) PEKERJA ASING DAN PELARIAN ROHINGYA DI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan taburan pekerja asing dan pelarian Rohingya yang menetap di Selangor mengikut daerah dan bilangan.

    Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bilangan pekerja asing yang memilikiPas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Negeri Selangor pada tahun 2019 ialah seramai 602,739 orang yang dibenarkan bekerja dalam sektor-sektor termasuklah Perkilangan, Pembinaan, Perladangan, Perkhidmatan, Pertanian, Perlombongan/ Pengkuarian dan sektor Pembantu Rumah Asing (PRA). Jabatan ini tidak mempunyai rekod mengikut taburan daerah di negeri ini. Manakala bagi pelarian Rohingya, Jabatan ini tidak mempunyai rekod memandangkan mereka tidak pernah didaftarkan.

    Pecahan Pekerja Asing di Negeri Selangor mengikut sektor:

    1. Perkilangan –  220,163 orang
    2. Pembinaan – 158,273 orang
    3. Perladangan – 29,954 orang
    4. Perkhidmatan – 120,194 orang
    5. Pertanian – 21,062 orang
    6. Perlombongan/ Pengkuarian – 26 orang
    7. Pembantu Rumah Asing – 53,067 orang

           Jumlah – 602,739 orang

  2. Memandangkan ujian saringan jangkitan COVID-19 yang mahal, bagaimana Kerajaan Negeri memastikan bahawa wabak tidak berlaku di kalangan pekerja asing dan pelarian?

    Beberapa strategi telah dirangka di peringkat Jabatan Kesihatan Kesihatan Negeri Selangor serta di peringkat pejabat- pejabat kesihatan daerah di seluruh Selangor bagi mengelakkan wabak Covid-19 di kalangan pekerja warga asing serta pelarian, antaranya ialah:

    1. Menjalankan ujian saringan di sektor-sektor pekerjaan yang menggaji pekerja warga asing secara berfokus dan berkala.
    2. Menjalankan engagement dengan para majikan serta pemantauan ketat secara multi-agensi di sektor-sektor pekerjaan ini bagi memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
    3. Bagi kes-kes positif yang melibatkan warga asing, saringan kontak diperluaskan melibatkan kejiranan, kawasan tempat kerja dan tempat-tempat tumpuan warga asing dan tidak hanya tertumpu kepada kontak rapat sahaja.
    4. Bagi golongan pelarian atau PATI, kerjasama diwujudkan antara pihak Kesihatan dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan golongan ini seperti Jabatan Imigresen, PDRM serta NGO-NGO bagi mengenalpasti keberadaan golongan ini untuk diambil tindakan seterusnya dijalankan ujian saringan ke-atas mereka.
    5. Bagi PATI yang ditahan, ujian saringan dijalankan bagi memastikan mereka bebas dari covid-19 sebelum mereka dimasukkan ke pusat-pusat tahanan dan bercampur bersama tahanan yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.