Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
6) UNJURAN SEKTOR EKONOMI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah unjuran sektor ekonomi yang dijangkakan berlaku semasa pasca COVID-19 di Negeri Selangor?
Sebelum COVID-19 melanda, daya saing Negeri Selangor sebagai sebuah wilayah di dalam ekonomi nasional menunjukkan tren yang sangat memberangsangkan dengan kadar peratusan sumbangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus saban tahun. Tren positif ini menunjukkan secara keseluruhannya Selangor mempunyai kelebihan kompetitif yang antara lain disebabkan oleh kelebihan lokasi, dasar kerajaan atau lain-lain faktor yang berfungsi sebagai penggalak kepada pertumbuhan sektor-sektor berkenaan. Setiap sektor didapati menunjukkan nilai positif kecuali sektor pembinaan dan subsektor utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
Ini bermakna kadar pertumbuhan kebanyakan sektor (yang merekodkan nilai positif) di peringkat nasional bergerak lebih perlahan jika dibandingkan dengan Negeri Selangor (atau sektor di Selangor tumbuh lebih pantas). Kesemua sektor yang merekodkan nilai positif adalah merupakan sektor utama (leading sectors) untuk Selangor. Sektor pembinaan tidak mempunyai kelebihan kompetitif, dianggap sebagai sektor ketinggalan (lagging sector). Begitu juga dengan subsektor utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi di bawah sektor perkhidmatan.
Walaupun sebelum WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, kesan terhadap ekonomi telah mula dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Pada bulan April 2020, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia pada tahun ini akan menguncup pada kadar 3.0%. Sehingga kini kesan terhadap ekonomi didapati lebih serius daripada jangkaan awal, hinggakan IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan dunia kepada negatif 4.9% pada bulan Jun 2020. Saluran perdagangan yang terkesan oleh lockdown di Wuhan boleh dianggap sebagai kesan pusingan pertama. Ini kerana, China merupakan ekonomi terpenting di dalam jaringan perdagangan dunia. Malaysia telah menerima kesan langsung di mana pengeluaran domestik telah mula terjejas kerana kesukaran untuk memperoleh bahan input perantaraan yang diimport dari China, lantas eksport negara telah mula terjejas.
Kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi negara berlaku apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan pada 18 Mac 2020 mula diperkenalkan dan dianggap sebagai kesan pusingan kedua yang lebih serius terhadap ekonomi. Seperti pusingan pertama, gangguan terhadap ekonomi bermula dari kejutan penawaran domestik. Aktiviti pengeluaran bukan sahaja terganggu kerana kegagalan mendapatkan input barangan perantaraan dari China, malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP. Dalam pada itu, kegagalan untuk memperoleh input perantaraan dari EU dan Amerika Syarikat turut berlaku apabila mereka turut melaksanakan lockdown. Kesan pusingan kedua ini memperkuatkan lagi kejutan penawaran di dalam ekonomi.
PKP turut menyebabkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Penurunan pendapatan individu diterjemah secara langsung kepada penurunan penggunaan swasta di dalam ekonomi domestik yang merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi terpenting sejak kebelakangan ini. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tahun ini akan tumbuh pada kadar di antara julat 0.5% dan -2.0% dengan mengambil kira pakej rangsangan ekonomi kerajaan. Namun BNM mengakui bahawa unjuran tersebut terdedah kepada risiko penurunan yang tinggi disebabkan oleh ketidaktentuan penyelesaian isu pandemik ini. Semakan semula unjuran IMF pada bulan Jun menyaksikan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dianggarkan pada kadar negatif 3.8%.
Namun begitu, secara umumnya, KDNK Selangor dijangka tumbuh lebih pantas daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana kelebihan kompetitif terutamanya dimiliki oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih kurang dua pertiga kepada KDNK Selangor. Berdasarkan pertumbuhan KDNK nasional di dalam julat negatif 3.0% sehingga positif 0.5%, ekonomi Selangor dijangka akan tumbuh di antara negatif 1.5% sehingga positif 2.1%. Sebagai persediaan bagi menghadapi kesan akibat pandemik ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan melantik perunding Econsult Consultancy and Training bagi melihat keseriusan impak kepada sektor ekonomi di negeri Selangor dan merangka langkah-langkah bagi mengatasi serta memacu semula pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, pihak perunding telah mengemukakan unjuran pertumbuhan ekonomi negeri Selangor berasaskan kepada jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia di antara julat 0.5% dan negatif 3.0% seperti Jadual 1 di bawah.
Senario Pertumbuhan KDNK 2020 (%) Malaysia Selangor Senario A (0.5) 0.50 2.09 Senario B (-0.5) -0.50 1.07 Senario C (-1.0) -1.00 0.56 Senario D (-1.5) -1.50 0.06 Senario E (-2.0) -2.00 -0.45 Senario F (-2.5) -2.50 -0.96 Senario G (-3.0) -3.00 -1.47 Jadual 1: Unjuran KDNK 2020 pada Harga Malar 2015
Melihat kepada unjuran tersebut, Kerajaan Negeri yakin campur tangan dasar adalah amat penting untuk mengelakkan kitaran ekonomi dari terus mengalami kesan rantaian menurun, yang mana akan menyebabkan ekonomi terjebak di dalam kemelesetan yang meruncing. Dasar yang bersesuaian mampu membanteras kitaran ekonomi menurun akibat kesan dari interaksi permintaan dan penawaran dan seterusnya dapat mengelakkan dari keruntuhan ekonomi. Kedua-dua permintaan dan penawaran perlu ditingkatkan menggunakan dasar fiskal dan kewangan yang sesuai. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa meneroka peluang dan ruang bagi membantu meringankan bebanan yang dialami oleh rakyat negeri Selangor dan seterusnya memacu semula pertumbuhan ekonomi negeri Selangor pada kadar yang selesa.
-
Berapa lamakah jangka masa untuk Kerajaan Negeri kembali ke landasan yang asal?
Pandemik dan PKP memberi kesan kepada negara dengan ketara bermula April 2020. Semua pihak termasuk Negeri Selangor terkesan dari sudut sosial dan ekonomi oleh langkah dan prosedur operasi yang ketat yang dikenakan sepanjang bulan. Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan agresif dan berusaha untuk meringankan beban golongan yang terlibat dengan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi – Selangor Prihatin Pertama dan Kedua bagi memastikan kesejahteraan rakyat, dengan semua inisiatif dan polisi yang proaktif untuk mempercepat pemulihan dan merancakkan penyertaan dalam pasaran buruh dengan gaji yang memuaskan menjadi keutamaan. Ini hanya dapat dilakukan dengan pemantauan rapi dan pelaksanaan semua inisiatif untuk memastikan apa yang telah dirancang terlaksana dan dapat dinikmati oleh kumpulan sasar.
Selain itu, bagi memastikan kesediaan untuk jangka masa panjang Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan melantik perunding Econsult Consultancy and Training bagi melihat keseriusan impak kepada sektor ekonomi di negeri Selangor dan merangka langkah-langkah bagi mengatasi serta memacu semula pertumbuhan ekonomi. Hasil kajian yang telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2 Jun 2020 yang lalu menggariskan beberapa strategi jangka panjang yang perlu diterapkan di dalam pelan tindakan pembangunan ekonomi Negeri Selangor berdasarkan empat (4) teras asas iaitu:
Teras Pertama : Membangunkan industri teras untuk pertumbuhan;
Teras Kedua : Peningkatan produktiviti;
Teras Ketiga : Menyediakan peluang pekerjaan; dan
Teras Keempat : Membangunkan rantaian industri dengan memperkasa PKS
Berdasarkan kepada keempat-empat teras ini, penyusunan semula strategi untuk pemulihan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan untuk Negeri Selangor adalah seperti berikut:
Pertama : Mentransformasikan “Sectoral Island” kepada sebuah ekonomi yang kompleks
Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memutuskan pendekatan melalui inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor untuk menjana pertumbuhan ekonomi seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019. Sembilan (9) kluster ini dilihat mampu menjadi ‘game changer’ untuk pembangunan ekonomi negeri. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak mampu memaksimumkan penggunaan sumber ekonomi serta tidak berupaya meraih manfaat jika tiada interaksi antara sektor. Interaksi ini mampu menerbitkan aktiviti ekonomi baharu yang tidak difikirkan sebelumnya dan dasar kerajaan yang mampu menggalakkan interaksi ini dijangka akan menyediakan asas yang kukuh untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Penciptaan dasar strategik yang berjaya dan boleh dilaksanakan akan melihat kesemua aktiviti ekonomi sebagai suatu spektrum aktiviti yang kompleks dan saling berkaitan. Sebuah ekonomi yang kompleks mempunyai lebih ruang untuk pembangunan, berbanding sebuah ekonomi yang dipenuhi oleh pulau-pulau sektor.
Kedua : Membangunkan industri sebagai sumber pertumbuhan
Pemilihan industri asas penjanaan ekonomi di dalam setiap kluster perlu meliputi keseluruhan spektrum rantaian nilai supaya kompleksiti ekonomi dapat ditingkatkan dan nilai tambah terhadap ekonomi dapat dimaksimumkan. Ianya bertepatan dengan teras pertama yakni membangunkan industri untuk sumber pertumbuhan. Dari sudut kerajaan, penggubalan dasar sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Ketiga : Mewujudkan Nukleus Pemangkin (Nucleus Catalyst)
Pemilihan satu kluster khusus untuk mewujudkan nukleus pemangkin yang akan melimpahkan aktiviti (spill-over) kepada kluster yang lain melalui rantaian bekalan bersepadu adalah amat penting. Dengan mengenalpasti sebuah kluster pemangkin, ianya berpotensi untuk mencetuskan aktiviti ekonomi yang baru dan seterusnya menghasilkan pekerjaan dan mendorong kepada peningkatan produktiviti.
Keempat : Penubuhan sebuah entiti sebagai fasilitator
Salah satu cabaran di dalam merealisasikan strategi yang dirancang dengan baik adalah dari segi pelaksanaannya. Untuk memastikan pelaksanaan yang efektif dan sumber digunakan secara optimum, sebuah entiti perlu dibentuk agar memudahkan pelaksanaan strategi. Fungsi utama entiti adalah untuk mengenalpasti secara berterusan industri dan aktiviti yang akan ditumpukan. Ini bermakna elemen kedinamikan industri dan pasaran perlu diterapkan di dalam strategi pembangunan. Segala perubahan yang berlaku ke atas industri dan pasaran perlu diberi perhatian. Entiti tersebut dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti kedinamikan tersebut melalui penyelidikan dan pembangunan serta latihan. Entiti ini perlu bertindak sebagai sebuah pusat pengumpulan dan penganalisis maklumat yang relevan untuk tugas utamanya, pengenalpastian berterusan industri berpotensi, menghubungkan industri dalam dan luar kluster khususnya untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta mendorong kepada peningkatan produktiviti. Entiti ini juga akan menyediakan platform untuk melatih kakitangan Kerajaan Negeri yang berkaitan dalam memahami dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang telah dikenalpasti. Akhirnya, entiti ini juga perlu menjadi platform untuk latihan kepada bakal usahawan supaya mereka dilengkapi dengan pemikiran yang relevan, maklumat, kemahiran, dan pengetahuan tentang menjalankan aktiviti berkenaan.
Jabatan Perangkaan Malaysia telah menyediakan Malaysia Economic Statistics Review (MESR) siri 2/2020 yang memaparkan statistik ekonomi dan sosial terkini serta impak COVID-19 kepada negara serta memberikan petunjuk awal tentang jangkaan prestasi ekonomi pada suku kedua 2020. Indeks Pelopor memberikan isyarat awal tentang arah tuju ekonomi di masa akan datang yang menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia menguncup dalam tempoh terdekat. Menjelang suku tahun keempat tahun 2020, ekonomi dijangka pulih secara beransur-ansur sekiranya gelombang kedua penularan wabak ini dapat dihindarkan.
Oleh yang demikian, tiada jangka masa tertentu yang dapat diberikan oleh mana-mana pihak dalam menentukan pemulihan ekonomi di dalam negara mahupun di Negeri Selangor. Pemulihan tersebut bergantung kepada pelbagai faktor luaran dan dalaman yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak terlibat sama ada pihak kerajaan, penggiat industri mahupun rakyat. Walau bagaimanapun, Negeri Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tidak punya pilihan lain melainkan menjadi peneraju yang merintis jalan ke arah pemulihan yang pantas. Demi merealisasikan cita-cita ini kita memerlukan sokongan setiap individu, setiap institusi serta agensi kerajaan dan pentingnya Kerajaan Negeri mempunyai hubungan simbiotik yang profesional demi kebaikan rakyat Negeri Selangor khususnya.