Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

290) COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kesan buruk covid-19 kepada pendapatan Negeri Selangor?

    Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Bandar Utama [Soalan 152(a)], YB Sungai Burong [Soalan 255(a)], YB Bukit Gasing [Soalan 262(a)] dan YB Semenyih [Soalan 290(a)] yang bertanyakan soalan berkaitan kesan wabak Covid-19 terhadap kutipan hasil Kerajaan Negeri.

    Tidak dinafikan, Pandemik Covid19 akan memberi kesan kepada Kedudukan dan Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri pada tahun ini. Namun begitu, amalan perbelanjaan berhemah Kerajaan Negeri serta usaha mendapatkan hasil yang berterusan berupaya menangani kesan ini tanpa mengabaikan peranan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Selangor yang menghadapi kesukaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.

    Status pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2020 secara keseluruhannya adalah sebanyak RM1,527.61 juta atau 69.44 peratus daripada anggaran hasil RM2.2 bilion. Daripada hasil keseluruhan ini, kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak RM416.67 juta atau 60.08 peratus. Kutipan Hasil Bukan Cukai adalah sebanyak RM897.35 juta atau 70.71 peratus. Manakala, Terimaan Bukan Hasil adalah sebanyak RM213.58 juta atau 90.01 peratus

  2. Nyatakan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam memastikan ekonomi Selangor tidak terjejas teruk akibat pandemik covid-19 ini?

    Ekonomi Kerajaan Negeri secara amnya turut terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan oleh Kerajaan bermula pada 18 Mac 2020. Kerajaan Negeri menyedari akan kesan ekonomi yang tidak dapat dielakkan terutamanya terhadap perniagaan dan rakyat. Selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Kerajaan Negeri juga mengambil keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat bagi memastikan semua perniagaan atau industri boleh memulakan semula aktiviti sekaligus memulihkan ekonomi negeri secara berfasa. Langkah ini dapat merangsang semula ekonomi Selangor dan bagi memastikan ekonomi Selangor tidak terjejas teruk ekoran daripada pelaksanaan PKP ini.

    Struktur ekonomi Kerajaan Negeri pasca COVID-19 akan mengadaptasikan perubahan dan pendekatan baru dari segi sistem dan pelaksanaannya. Pakej Rangsangan Selangor Prihatin akan diteruskan dengan pelaksanaan Fasa Ketiga yang akan memberi manfaat kepada rakyat Selangor sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini, namun bagi menjana dan mengukuhkan semula ekonomi Negeri,  Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani impak COVID-19. Tiga tonggak utama tersebut yang akan diberi penekanan ialah Keselamatan Makanan (food security), Kemampanan Ekonomi (economy sustainability) dan Pembangunan Kapasiti (capacity building).

    Tonggak pertama di bawah kluster Keselamatan Makanan (food security) akan memfokuskan kepada kelangsungan bekalan makanan dengan memastikan bekalan makanan yang sentiasa mencukupi untuk rakyat Selangor serta menjadikan sektor pertanian dan makanan sebagai salah satu penyumbang terbesar KDNK Negeri Selangor. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri akan memastikan pengadaptasian teknologi dalam pengoperasian kitaran nilai pertanian dalam mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.

    Tonggak kedua pula iaitu Kemampanan Ekonomi (economy sustainability), penumpuan akan diberikan dalam merancakkan lagi pembangunan hartanah, memastikan pengurusan infrastruktur dan perkhidmatan air yang efisyen, mengekalkan keseimbangan dalam aliran tunai Kerajaan Negeri serta peningkatan sistem penyampaian Kerajaan Negeri yang lebih bersifat fleksibel dan mampan dalam pengurusan terimaan hasil. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan mengenengahkan inisiatif pembiayaan tunai Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan meningkatkan kecairan tunai IKS bagi mengekalkan kelangsungan operasi mereka terutamanya ketika fasa pemulihan ekonomi ini.

    Tonggak yang ketiga, iaitu Pembangunan Kapasiti (capacity building), Kerajaan Negeri akan memberi penekanan dengan memacu pertumbuhan industri aeroangkasa sebagai industri yang bernilai tinggi dengan mengkoordinasikan tenaga kerja (talent) yang terdiri dalam kalangan rakyat Selangor ke dalam syarikat-syarikat yang telah dikenalpasti untuk meningkatkan kapabiliti dan kapasiti peserta dalam bidang aeroangkasa. Inisiatif pembangunan teknologi dan kemahiran aeroangkasa dalam kalangan talents Selangor sangat diperlukan dalam fasa pemulihan ini untuk mengukuhkan lagi rantaian sumber manusia dalam bidang aeroangkasa. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberi fokus dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja dengan memenuhi penawaran kerja lebih-lebih lagi ramai rakyat Selangor yang terkesan apabila diberhentikan kerja ketika dalam tempoh PKP. Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menangani masalah pengangguran sebanyak 5% sebagai salah satu strategi pemulihan ekonomi pasca Covid-19 selain daripada menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun. Kerajaan Negeri juga akan mencipta nilai modal insan bagi membangunkan Ekosistem Industri Nilai Tinggi dengan menjadikan Industri Aeroangkasa sebagai pemangkin pembangunan Industri Nilai Tinggi bagi merealisasikan Selangor sebagai Regional Smart State menjelang tahun 2025.

Lampiran

Tiada Lampiran.