Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
286) SELANGOR MARITIME GATEWAY
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi Landasan Lumayan Sdn Bhd dalam membantu membersihkan Sungai Klang sehingga sekarang?
Pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang diterajui oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) telah secara rasminya bermula semenjak 1 June 2018 dan sedang di dalam fasa pertama bermula pada tahun 2018 hingga 2022 bermula dengan pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang.
Bagi kerja-kerja pembersihan, ianya telahpun dimulakan pada Februari 2016 dan sehingga kini, sejumlah 60,000 tan sampah telah berjaya dikeluarkan daripada Sungai Klang. 7 buah logboom telah siap dipasang disepanjang 56km jajaran Sungai Klang bermula di Kawasan MBPJ sehinggalah di kawasan MPK. Selain daripada itu, sebanyak 2unit sensor telah dipasang di sepanjang Sungai Klang bagi tujuan pemantauan kualiti air.
Hasil daripada usaha pembersihan di atas, rekod statistik menunjukkan bahawa purata kutipan sampah telah menurun sebanyak 35%, daripada purata kutipan 1,400 tan sebulan yang dicatatkan pada tahun 2016 & 2017 kepada 900 tan sebulan pada masa kini. Berdasarkan kepada data yang direkodkan oleh sensor yang dipasang, tahap kualiti air di Sungai Klang juga telah menunjukkan peningkatan daripada kelas V (tercemar teruk) kepada kelas III secara puratanya.
-
Apakah latar belakang syarikat ini dan apakah teknologi dan kos perbelanjaan yang terlibat dalam usaha membersihkan Sungai Klang?
Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) merupakan anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang telah diberi mandat oleh Kerajaan Negeri sebagai ‘Master Developer’ bagi pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway (SMG).
Dalam usaha membersihkan Sungai Klang, kerja-kerja pembersihan sungai telah bermula pada tahun 2016. Bagi menangani masalah sampah terapung, LLSB telah membina sebanyak tujuh (7) buah log boom di sepanjang 56km jajaran Sungai Klang. Selain daripada itu, sebanyak 2unit sensor telah dipasang bagi tujuan pemantauan kualiti air. Sehingga kini, sebanyak kira-kira RM24 juta telah dibelanjakan untuk tujuan pembersihan Sungai Klang sejak tahun 2016 (kira-kira RM5.0 juta setahun).
Pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) juga telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di The Netherlands iaitu The Ocean Cleanup (TOC) pada April 2019. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi pembersihan di Sungai Klang dengan pengaplikasian teknologi terkini daripada pihak TOC iaitu The Interceptor, yang kini sudah mula beroperasi di kawasan Pengkalan Batu, Klang. Kerjasama ini juga telah menunjukkan bahawa projek SMG telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2020, penekanan kepada inisiatif pemuliharaan Sungai Klang secara komprehensif bagi tujuan menyediakan keperluan sumber air akan datang dan meningkatkan nilai pembangunan berdaya impak di sepanjang Sungai Klang sedang dilaksanakan.