Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
250) PELANCONGAN
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan kesan dan jangkaan Kerajaan Negeri dalam bidang pelancongan yang terjejas teruk akibat covid-19?
Secara keseluruhannya setiap penggiat Industri pelancongan di Negeri Selangor terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keseluruhan pemain-pemain industri pelancongan negeri Selangor menghadapi pembatalan tempahan (bilik penginapan, penganjuran acara, pakej pelancongan, pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan berkenaan pelancongan) sejak pandemik Covid-19 ini ditemui dan mula tersebar bermula bulan Januari 2020 lalu.
Di samping itu, sebahagian besar industri pelancongan negeri Selangor terpaksa menutup operasi mereka sepanjang penguatkuasaan PKP sejak pertengahan bulan Mac 2020 lalu. Oleh yang demikian, ianya memberi kesan kepada pendapatan penggiat industri pelancongan sepanjang tempoh tersebut.
Melalui kaji Selidik yang dilaksanakan oleh Tourism Selangor secara puratanya ketahanan aliran tunai penggiat-penggiat industri pelancongan di Negeri Selangor adalah antara 1 hingga 6 bulan. Responden juga telah membalas dimana majoriti lebih 50% memaklumkan terpaksa menutup operasi sepenuhnya disebabkan bukan kategori ‘essential business’ semasa tempoh PKP. Manakala, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah mengunjurkan ‘kadar penginapan – occupancy rate’ bulanan sehingga Disember tahun 2020 adalah dibawah 40%, yang mana hotel-hotel akan beroperasi tanpa membuat keuntungan.
Hal ini secara kasarnya akan mengakibatkan banyak penggiat industri pelancongan terpaksa memberhentikan operasi mereka dan berhadapan dengan kemungkinan muflis jika tempoh penutupan operasi akibat penguatkuasaan PKP ini berpanjangan.
-
Nyatakan jumlah peruntukan yang disediakan untuk menaikkan semula industri pelancongan di Selangor akibat covid-19?
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 2,553,000.00 untuk menaikkan semula industri pelancongan di Negeri Selangor akibat impak pandemik Covid-19. Peruntukan bagi penyediaan bantuan khas ini, mengikut pecahan seperti yang berikut:
- Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM 1,000.00 seorang, bagi yang layak berdasarkan kriteriak yang telah ditetapkan iaitu pemandu pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Selangor (STGA), Hos Komuniti Setempat dan Pengusaha Homestay Berlesen yang memperuntukkan bantuan sebanyak RM 553,000.00
- Menerbitkan subsidi “Baucar Pelancongan” Negeri Selangor dengan nilai peruntukan bantuan sebanyak RM 2,000,000.00
Selain itu, kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor mempergiatkan aktiviti promosi untuk menaikkan semula industri pelancongan di Negeri Selangor melalui usaha-usaha yang berikut:-
- Memfokuskan pasaran domestik sebagai pasaran utama pelancongan seperti penganjuran kempen “Pusing Selangor Dulu”
- Tumpuan utama kepada sektor pelancongan alam semulajadi (eco), sukan, perubatan, pendidikan, pelayaran mewah dan agro.
- Menganjurkan kempen pengiklanan melalui platform digital dan atas talian (Online).
- Pembangunan produk pelancongan klusterisasi yang memfokuskan kepada Pelancongan Eko, Pertanian, Sukan, Perubatan, Pendidikan dan Pelayaran Mewah.
- Penganjuran Acara Pelancongan berskala antarabangsa pada setiap bulan dan sepanjang tahun.
- Program usahasama bersama penggiat industri pelancongan seperti Hotel, Agensi Pelancongan, Media, Syarikat Penerbangan.
- Mengemaskini direktori pelancongan mengikut trend dan perkembangan pelancongan terkini.
- Mempromosikan pakej pelancongan bersepadu seperti pakej ‘Experiential Tourism’ melalui program Latihan Hos Komuniti Selangor.