Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

226) PKNS

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu usahawan yang terjejas kerana PKP?

    PKNS telah membantu usahawan mengharungi cabaran perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui pelbagai insiatif seperti:

    1. Memberikan pengurangan harga sewa ruang niaga di Amcorp Mall sebanyak 50% kepada semua penyewa di Amcorp Mall. PKNS mempunyai 5 lot ruang niaga di Amcorp Mall dan pengurangan harga sewa 50% ini bermula dari bulan Mac sehingga Julai 2020.
    2. Memberikan pengecualian satu (1) bulan bayaran sewa bagi bulan April 2020 dan dua (2) bulan penangguhan bayaran sewa bagi bulan Mei dan Jun 2020 kepada penyewa-penyewa pejabat VIO by PKNS.
    3. Memulangkan semua deposit sewaan ruang niaga bagi promosi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ruang Acara (Event Space) di PKNS BizPoint telah disewakan kepada sebuah syarikat untuk mengadakan promosi Hari Raya Aidilfitri bermula Mac sehingga Mei 2020. Walau bagaimanapun, PKNS telah memulangkan semua bayaran deposit kerana aktiviti acara promosi Hari Raya tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
  2. Berapakah jumlah usahawan bumiputera yang terpaksa menutup operasi perniagaan akibat PKP?

    Tiada usahawan PKNS yang telah menutup operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

  3. Apakah langkah yang dilakukan oleh PKNS dalam membantu usahawan memperkembangkan perniagaan dengan penggunaan teknologi digital?

    PKNS telah membantu usahawan mengembangkan perniagaan melalui platform digital dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti:

    1. PKNS dengan kerjasama Shopee Malaysia dan Selangor Information Technology & E-Commerce (SITEC) telah menyediakan sebuah kempen perniagaan yang diberi nama Raya bersama PKNS di Shopee. Kempen ini telah dijalankan bermula 15 April 2020 sehingga 22 Mei 2020 bagi membantu usahawan melibatkan diri dalam perniagaan digital sekaligus membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pasaran perniagaan.
    2. PKNS telah berkerjasama dengan Institut Keusahawan Nasional (INSKEN) bagi mengadakan Kursus Asas Keusahawanan (KAK) secara atas talian kepada 90 usahawan pada 11-12 April, 13-14 April dan 5-6 Mei 2020. Kursus yang dijalankan secara atas talian ini telah memberi peluang kepada usahawan untuk menimba ilmu tentang asas perniagaan seperti proses memulakan perniagaan, pengurusan kewangan, pengurusan jualan dan pemasaran, pengurusan operasi perniagaan serta teknik mengenalpasti pelanggan dan pasaran perniagaan.
    3. PKNS juga telah mengadakan sesi temuduga usahawan secara atas talian bagi Program Usahawan Siswazah yang dikenali sebagai Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW). GROW adalah sebuah program yang diwujudkan untuk membangun dan membimbing golongan siswazah berusia 30 tahun ke bawah yang berpotensi untuk menjadi usahawan. Graduan akan diberikan ilmu perniagaan selama enam (6) bulan dan perlu diaplikasikan dalam tempoh tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.