Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
202) GUNUNG NUANG
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini bagi pelancongan di kawasan gunung Nuang?
Taman Eko Rimba Gunung Nuang yang terletak di Kompatmen 65, Hutan Simpan Ulu Langat, Daerah Hulu Langat merupakan antara kawasan rekreasi sukan lasak yang terkemuka di Selangor. Sehingga kini, operasi Taman Eko Rimba Gunung Nuang telah ditutup sementara kepada penggiat rekreasi lasak bermula pada 15 Januari 2019 akibat daripada kejadian kemalangan maut yang berlaku semasa sekumpulan pengunjung menjalankan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Nuang. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menjalankan beberapa program dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan swasta sebagai usaha menaiktaraf kemudahan termasuk menyelenggara denai pendakian bagi memastikan keselamatan pengunjung. Sehingga pertengahan bulan Mac 2020, sebanyak lebih kurang 300 permohonan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) dalam tempoh seminggu diterima oleh pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah untuk menjalankan aktiviti pendakian di Taman Eko Rimba Gunung Nuang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
-
Apakah kerajaan telah membukanya secara rasmi kepada pengunjung?
Sejak penutupan operasi Taman Eko Rimba Gunung Nuang pada 15 Januari 2019 yang lalu, kawasan ini telah dibuka semula operasinya kepada orang ramai pada 1 September 2019 setelah pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berpuas hati ke atas tahap keselamatan denai pendakian hingga ke puncak tertinggi (1,493meter) sejauh 9.0km. Walau bagaimanapun, sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID19, operasi di semua kawasan Taman Eko Rimba termasuk Gunung Nuang telah ditutup untuk sebarang aktiviti sejak 18 Mac 2020. JPNS sedang membuat persediaan untuk membuka semula semua operasi Taman Eko Rimba di Negeri Selangor kepada orang ramai bermula pada 1 Julai 2020 dengan SOP yang diperketat.