Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

172) MASALAH SAMPAH DI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan yang boleh dan sedang dimainkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) untuk mengatasi masalah sampah haram di peringkat PBT?

    Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) tidak mempunyai peranan atau tanggungjwab yang khusus untuk pengurangan masalah sampah haram di PBT.

    Namun begitu, terdapat beberapa inisiatif Smart Selangor di bawah SSDU yang boleh digunakan oleh pihak PBT dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPB) untuk memperkasakan lagi operasi penguatkuasaan dan pemantauan melalui :

    1. Smart Selangor Intelligent Operations Centre :
      Pusat pemantauan bersepadu UPB dan agensi-agensi negeri
    2. Smart CCTV dan Smart CCTV Analytics :
      100 unit CCTV yang mempunyai keupayaan pemantauan pembuangan sampah haram secara automatik di lokasi pemasangan.
    3. Aplikasi Communities Online (COOL) dan iClean Selangor :
      Membolehkan pengguna membuat pelaporan bergambar lokasi dan gambar longgokan sampah haram untuk tindakan PBT dan KDEB Waste Management
  2. Siapakah kontraktor sampah domestik KDEBWM di Kuala Langat dan senaraikan kekuatan dan semua aset kepunyaan kontraktor-kontraktor ini.

    Bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah domestik di Kuala Langat, KDEBWM telah melantik sebanyak enam belas (16) kontraktor. Lima belas (15) daripada kontraktor tersebut melaksanakan kutipan sampah domestik di lima belas (15) zon kutipan yang telah ditetapkan manakala satu (1) lagi kontraktor melaksanakan kerja-kerja tarikan RORO di lima (5) pasar awam yang telah disenaraikan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

    Bagi menjawab soalan berkenaan kekuatan yang dimiliki oleh kontraktor-kontraktor kutipan sampah domestik ini, berdasarkan SOP kerja yang telah ditetapkan, kesemua kontraktor kutipan sampah domestik perlu mempunyai seorang (1) pemandu dan (3) orang krew bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah.

    Kesemua kontraktor-kontraktor ini juga telah diberikan lori kompaktor baru oleh KDEBWM bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah domestik. Kontraktor-kontraktor ini juga mempunyai sekurang-kurangnya satu (1) lori kompaktor sendiri yang digunakan sebagai ‘back up’ sekiranya berlaku kerosakan atau perkara-perkara luar jangka lain terhadap lori kompaktor KDEBWM yang telah diberikan kepada mereka.

    Kesimpulannya, kesemua kontraktor-kontraktor yang telah dilantik ini mempunyai keupayaan yang mencukupi dari segi pengalaman,  kekuatan tenaga kerja serta aset dan logistik bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah domestik di Kuala Langat.

Lampiran

Tiada Lampiran.