Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

145) PENYEBARAN WABAK CORONA VIRUS

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik kes Covid-19 di Selangor mengikut DUN dan berapakah perbelanjaan juga kategori yang telah digunakan untuk memerangi wabak?

    Jawapan bagi Sub Soalan A dan B:

    Jadual berikut menunjukkan statistik bilangan kes COVID 19 bagi Negeri Selangor Sehingga 30 Jun 2020 Mengikut Daerah.

    Antara usaha berterusan yang dilaksana bagi memutuskan penyebaran COVID 19 adalah:

    1. Menjalankan ujian saringan secara berfokus dan berkala di sektor-sektor pekerjaan (tapak bina dan perladangan) yang menggaji pekerja warga asing
    2. Menjalankan saringan kumpulan berisiko seperti saringan di pasar, warga emas dan guru tadika/taska.
    3. Menjalankan engagement dengan para majikan serta pemantauan ketat secara multi-agensi bersama agensi luar seperti PDRM dan PBT di sektor-sektor pekerjaan ini bagi memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.
    4. Bagi kes-kes positif yang melibatkan warga asing, saringan kontak diperluaskan melibatkan kejiranan, kawasan tempat kerja dan tempat-tempat tumpuan warga asing dan tidak hanya tertumpu kepada kontak rapat sahaja.
    5. Bagi golongan pelarian atau PATI, kerjasama diwujudkan antara pihak Kesihatan dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan golongan ini seperti Jabatan Imigresen, PDRM serta NGO-NGO bagi mengenalpasti keberadaan golongan ini untuk diambil tindakan seterusnya dijalankan ujian saringan ke-atas mereka.
    6. Bagi PATI yang ditahan, ujian saringan dijalankan bagi memastikan mereka bebas dari COVID-19 sebelum mereka dimasukkan ke pusat-pusat tahanan dan bercampur bersama tahanan yang lain.
    7. Saringan COVID 19 dijalankan di Pintu Masuk Antarabangsa (udara dan laut) bagi setiap pelawat yang memasuki negara.
    8. Mempergiat usaha pendidikan kesihatan COVID 19 berkenaan kaedah kawalan dan pencegahan melalui media massa dan elektronik dari masa ke semasa.
    9. Mewujudkan aplikasi SELangkah bagi memudahkan pengesanan kontek kes positif COVID 19.
  2. Sejauh manakah kejayaan Pakej Rangsangan Khas Selangor, indikator apa yang digunakan?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menjayakan pelaksanaan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin dan lantaran itu Kerajaan Negeri sentiasa memastikan supaya semua inisiatif yang ditawarkan dapat dicapai dan dikecapi manfaatnya oleh semua golongan sasar.

    Inisiatif yang ditawarkan melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin mencakupi segenap golongan masyarakat dan inisiatif ini diharapkan dapat membantu mengurangi beban rakyat Selangor yang terkesan susulan daripada penularan wabak pandemik.  Kerajaan Negeri secara keseluruhannya telah memperuntukkan sejumlah RM413.883 juta bagi pelaksanaan keseluruhan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

    Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pakej ini, Kerajaan Negeri memanfaatkan sepenuhnya sumber sedia ada dengan mengguna pakai mekanisme penyaluran serta pangkalan data sedia ada. Anak syarikat Kerajaan Negeri juga banyak membantu menggerakkan dan merealisasikan kejayaan Pakej ini dengan menawarkan penangguhan dan pengeculian pembayaran bagi perkhidmatan tertentu. Berdasarkan rekod, Pakej Rangsangan Selangor Prihatin ini telah memberikan manfaat kepada sekitar 3.52 juta orang penerima. Walau bagaimanapun, angka sebenar jumlah penerima kemungkinan lebih rendah mengambilkira  kebarangkalian ada penerima yang mungkin menerima lebih dari satu jenis bantuan. Manakala daripada 44 inisiatif yang telah diumumkan, sebanyak 32 inisiatif telah selesai pelaksanaannya manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.

    Sehingga kini, Kerajaan Negeri tidak menetapkan indikator pencapaian terhadap pelaksanaan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin ini kerana inisiatif yang telah diumumkan setakat ini lebih terarah kepada bantuan bagi penduduk yang terkesan dengan penularan wabak Covid – 19.

  3. Apakah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memutuskan penyebaran wabak Covid-19?

    Jawapan seperti di Sub Soalan A

Lampiran

Tiada Lampiran.