Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
111) HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berikan perincian status terkini pembangunan di kawasan hutan simpan ini.
HSK Kuala Langat Utara telah diwartakan pada 13 Mei 1927 dengan keluasan asal berjumlah ±7,246.96 ha. Kini keluasan HSK Kuala Langat Utara adalah berjumlah ±957.63 ha dan dikelilingi oleh pelbagai pembangunan guna tanah seperti perumahan Saujana Putra, Lebuhraya ELITE, perkampungan orang asli, aktiviti pertanian sawit, Ladang Boh Bukit Cheeding dan pembangunan bercampur Gamuda Cove.
Tidak dinafikan bahawa pelbagai aktiviti pembangunan guna tanah yang pesat di sekeliling hutan ini menjadi antara faktor ancaman ke atas hutan ini. Di samping itu, sebahagian kawasan HSK Kuala Langat Utara ini juga bakal dibangunkan untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan seluas ±9.6ha @ ±3.2 km. Projek ini adalah merupakan projek Kerajaan Persekutuan dan mempunyai kepentingan yang tinggi untuk manfaat awam.
Berdasarkan kepada keputusan Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke-30/2019 bertarikh 16 Oktober 2019, seluas ±931.17ha @ ±2,300 ekar kawasan HSK Kuala Langat Utara ini telah diluluskan untuk pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965. Walau bagaimanapun, sebelum proses pemberimilikan tanah ini diteruskan, syarat-syarat penyahwartaan HSK telah dikenakan untuk dipatuhi sepenuhnya oleh pemohon. Antara syarat-syarat yang telah dikenakan adalah melaksanakan Kaedah Penyiasatan Awam, penggantian kawasan HSK yang setara dan/atau lebih luas saiznya, proses pengeluaran dan penggantian HSK berlaku secara serentak, pengenaan bayaran pampasan gantirugi ke atas kehilangan manfaat hutan dan lain-lain syarat.
Merujuk kepada Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih berada di peringkat awal di mana bantahan-bantahan awam secara bertulis yang telah diterima oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selama tempoh 30 hari bermula 05 Februari 2020 telah dianalisis pada 12 – 13 Mac 2020. Seterusnya, satu sesi pendengaran awam (Town Hall Session) akan diadakan bagi tujuan mendapatkan bantahan secara lisan mengenai cadangan penyahwartaan hutan simpan tersebut.
Sepanjang proses penyahwartaan ini, segala bantahan akan diteliti dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna terlebih dahulu. Seterusnya, satu Kertas Kerja akan diangkat untuk pertimbangan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
-
Bagaimanakah status penggantian hutan simpan ini?
Merujuk kepada keputusan MMKN Ke-7/2020 melalui Kertas MMK No. 31/6/2020 telah meluluskan cadangan pembatalan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan penggantian di kawasan seperti berikut:-
- PT 4182 Mukim Sungai Panjang Daerah Sabak Bernam (Cadangan nama Hutan Simpan Sungai Panjang) seluas 308.62 hektar (762.295 ekar).
- Mukim Sungai Panjang 2, Daerah Sabak Bernam (Cadangan nama Hutan Simpan Sabak Bernam) 606.88 hektar (1,499 ekar).
- Mukim Sungai Kuala Selangor, Daerah Kuala Selangor (Cadangan nama Hutan Simpan Taman Alam Kuala Selangor) seluas 261.81 hektar (646.9 ekar).
-
Adakah Kerajaan Negeri ada mendakwa mana-mana pihak yang merosakkan hutan ini?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sentiasa komited dalam memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Kuala Langat Utara terus dipertahankan dan dipelihara bagi memastikan pengurusan sumber hutan secara berkekalan khususnya di HSK Kuala Langat Utara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu ataupun pihak yang didapati telah melakukan kesalahan seperti menceroboh kawasan HSK Kuala Langat Utara yang mana pihak berkenaan akan dihukum sewajarnya mengikut mana-mana seksyen yang berkaitan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor. Dari tahun 2015 hingga tahun 2020, terdapat lima (5) kes kesalahan hutan yang telah berjaya dikesan oleh JPNS melibatkan kesalahan pencerobohan hutan. Berikut merupakan kes kesalahan hutan yang telah direkodkan dan diambil tindakan selanjutnya oleh JPNS dari tahun 2015 – 2020 adalah seperti berikut :