Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
72) IMPAK COVID 19 TERHADAP PEKERJA LADANG
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila butirkan impak covid-19 terhadap pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor
Menurut sumber dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bertarikh 6 Jun 2020, penularan pandemik Covid – 19 yang melanda negara tidak memberi impak secara langsung kepada pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor khususnya memandangkan Kerajaan Negeri membenarkan sektor peladangan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020. Namun begitu, saya berpandangan bahawa butiran tersebut adalah tidak secara menyeluruh memandangkan tiada data terkumpul dan bancian yang dilaksanakan berkenaan perkara ini.
Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Gasing, jumlah pekerja ladang di Negeri Selangor tidak direkod secara khusus di mana pekerja ladang di negeri ini dibahagikan kepada tiga (3) kategori. Pertama, terdapat pemilik ladang yang menggajikan pekerja secara tetap dan pekerja tersebut dikenalpasti sebagai pekerja ladang. Kedua, terdapat pemilik ladang yang membenarkan pihak swasta bekerja di ladang mereka di mana pekerja tersebut bekerja secara kontrak dan tidak dianggap sebagai pekerja ladang. Ketiga, terdapat pekerja ladang yang bekerja sebagai kontraktor persendirian untuk membuat kerja – kerja di sektor perladangan. Justeru, impak Covid – 19 terhadap pekerja ladang warganegara di Negeri Selangor adalah tidak dapat dikenalpasti secara tepat dan menyeluruh.
-
Adakah kerajaan akan membantu golongan ini dengan apa-apa skim baru?
Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Gasing di atas keprihatinan bertanyakan skim bantuan baharu kepada golongan pekerja ladang. Kerajaan Negeri menyedari bahawa pekerja ladang di negeri ini sebahagian besarnya adalah merupakan golongan yang susah dan perlu dibantu. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac 2020, Kerajaan Negeri telah merancang beberapa program khusus untuk membantu rakyat di negeri Selangor khususnya peniaga – peniaga, pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan petugas barisan hadapan (Frontliners).
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan pantas dengan menghulurkan bantuan kepada para pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di negeri Selangor sepanjang tempoh PKP semasa penularan pandemik Covid – 19 melalui penganjuran satu program khas untuk membantu seramai 5,000 orang pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di mana rata – rata mereka adalah dari golongan B40 yang dikenal pasti melalui Ketua Komuniti Kaum India (KKI) dan Ahli Majlis berketurunan India.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap keadaan sosio ekonomi para pekerja ladang dan bekas pekerja ladang di negeri ini. Kerajaan Negeri masih meneruskan penganjuran program – program sedia ada yang mensasarkan pekerja ladang dan bekas pekerja ladang sebagai penerima manfaat.
Antara program tersebut ialah program – program kemahiran, kebudayaan, motivasi dan sebagainya. Walau bagaimnapun, tumpuan bukan hanya untuk membantu pekerja ladang sahaja, terdapat juga program – program yang dianjurkan khusus untuk membantu anak pekerja ladang seperti Program Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah di mana pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang/bekas pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan untuk setiap tahun, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia di mana Kerajaan menanggung yuran pengajian maksima sebanyak RM5,000.00 untuk setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan, Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan sumbangan kewangan berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit dan Program–program Motivasi Anak Pekerja Ladang yang dilaksanakan untuk meningkatkan motivasi dan pendidikan dalam kalangan anak pekerja ladang di dalam menimba ilmu pengetahuan.