Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

50) GUGUSAN PERTANIAN & INDUSTRI ASAS TANI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan ada menyediakan geran atau apa-apa bantuan khusus untuk petani yang ingin mengusahakan pertanian moden?

    Kerajaan Negeri amat memberikan perhatian yang tinggi di dalam menggalakkan golongan petani untuk menceburkan diri di dalam sektor pertanian dan seterusnya menjadikan ianya sebagai sumber ekonomi tetap khususnya di dalam projek-projek pertanian yang berpenghasilan dan bernilai tinggi sebagai contoh tanaman berkonsepkan hidroponik, akuaponik termasuk juga tanaman Nanas MD2 yang pada ketika ini mempunyai permintaan yang tinggi dan juga nilai yang tinggi.

    Bagi tujuan tersebut, sejak tahun 2019, peruntukan berjumlah hampir RM2,000,000.00 telah diperuntukkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) untuk dijadikan sebagai insentif kepada golongan petani tersebut dan ianya juga termasuk program latihan (program inkubator) sebagai persediaan sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

  2. Adakah Kerajaan sudah mengenalpasti lokasi-lokasi strategik dan sesuai untuk penanaman Tanaman Berpenghasilan Tinggi (High Value Crop) di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri telahpun mengenalpasti lokasi-lokasi untuk pelaksanaan projek-projek berpenghasilan dan bernilai tinggi ini sebagai contoh di Sg. Panjang, Sabak Bernam untuk projek tanaman nanas MD2 di atas tanah berkeluasan lebih kurang 57 ekar dan juga di Sg. Air Tawar, Sabak Bernam untuk projek bercampur tanaman seperti rosselle dan melon di kawasan seluas 120 ekar. Walau bagaimanapun, kedua-dua lokasi tersebut masih lagi di dalam proses kelulusan tanah untuk pewartaan sebagai kawasan pertanian. Bagi projek penanaman nanas MD2 di Sg. Panjang, ianya dijangka akan dimulakan pada suku 3 tahun 2020.

    Dalam pada itu juga, projek-projek tanaman untuk pertanian berpenghasilan dan bernilai tinggi juga telah dimulakan di Selangor Fruit Valley (SFV) dan kawasan Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) di seluruh Negeri Selangor seperti tanaman nangka, nangchem, cendawan, sayuran daun dan buah, kelapa dan pelbagai lagi.

    Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha untuk mengenalpasti lokasi-lokasi untuk projek tanaman berpenghasilan dan bernilai tinggi berkonsepkan pertanian moden di seluruh Negeri Selangor bagi memastikan ramai pengusaha-pengusaha baharu khususnya golongan generasi muda boleh menjalankan aktiviti pertanian mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.